
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mengawal rapi perairan negara untuk membendung pencerobohan.
Jelasnya, hampir setiap hari bot yang membawa pelarian Rohingya dari Myanmar dikesan berada di perairan antarabangsa dan cuba menceroboh perairan Malaysia.
Bagaimanapun pasukan penguat kuasa terutamanya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa siap siaga di kawasan perairan bagi mengekang kemasukan itu lantaran politik Myanmar masih bergolak dan rakyatnya menderita.
"Mengenai faktor penolak ini, seperti yang kita sedia maklum di peringkat ASEAN, memang isu Myanmar ini kita bincangkan," katanya dipetik.
Saifuddin sebelumnya meninjau persiapan Asia International Security Summit and Expo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan kejayaan Maritim Malaysia memintas dua bot kayu yang sarat penumpang disyaki etnik Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi awal Januari lalu.
Ia kes kedua selepas polis menahan sekumpulan 196 etnik Rohingya di Pantai Teluk Yu, Mukim Ayer Hangat awal pagi Jumaat.
Sementara itu sebagai mengulas penahanan tersebut Saifuddin menjelaskan, kesemua mereka telah diprofilkan dan ditempatkan di depot imigresen dan dilakukan atas dasar kemanusiaan.
Comentarios