Oleh: Akmal Manaf
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menyifatkan sebarang langkah penyelesaian berkaitan isu ekonomi yang diambil Kerajaan Madani bagi menyelesaikan isu tertentu akan dianggap tidak popular sekiranya tidak diterangkan dengan betul.
Beliau berkata, misalnya kesan kepada isu penyasaran subsidi bahan api akan gawat apabila seseorang itu telah biasa menerima bantuan kerajaan tetapi 'tidak menerimanya' kerana kerajaan beralih kepada konsep yang baharu.
"Apa yang kerajaan usahakan untuk pelarasan (subsidi petrol).. kita (kerajaan) beri 85 peratus (kepada golongan bawahan dan mereka tidak terjejas).
"Walaupun kita belum buat keputusan tentang RON95, tetapi berdasarkan maklumat Kementerian Kewangan (MOF), 20 peratus kumpulan yang tertinggi, mereka 'makan' subsidi minyak 60 peratus, manakala 80 peratus yang lain ini, cuma makan 40 peratus daripada jumlah yang dibelanjakan.
"Jadi kita (kerajaan) kena berlaku adil kepada 80 peratus ini kita tak bagi apa-apa perubahan. Tetapi kepada kumpulan yang pakai lebih.. maksud saya, dia menggunakan subsidi itu lebih daripada yang lain, itu kita minta pelarasan.
"Isunya apabila kita sudah lama terima sesuatu, tapi ada sedikit perubahan.. kalau tak diceritakan dengan betul.. sebenarnya masih dapat.. (tetapi disalah faham)," katanya dalam rancangan bual bicara Sembang Malam bertajuk 'Dua Tahun PMX dan Kerajaan Perpaduan' malam tadi.
Rancangan yang dikendalikan oleh hos Tan Sri Johan Jaaffar itu turut menjemput Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.
Dalam pada itu, Fahmi juga mengambil contoh mengenai pemberian subsidi elektrik oleh Kerajaan Perpaduan.
Katanya, rakyat masih menerima peruntukan subsidi tersebut dan ianya boleh dilihat menerusi bil elektrik.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN itu, bukan semua pendekatan yang diambil kerajaan untuk memulihkan sesuatu keadaan boleh diterima mudah oleh rakyat. Apatah lagi jika dikelirukan oleh pembangkang.
"Saya bagi lagi satu contoh mengenai isu harga ayam.. satu ketika ramai yang merasakan kalau kita (kerajaan) tidak bayar subsidi kepada penternak, harga ayam akan naik.
"Tapi saya baru periksa harga berdasarkan aplikasi 'Price Checker KPDN'... kalau nak ayam paling mahal memang ada RM10 sekilo.
"Yang termurah di Lotus Store Seksyen 13, Shah Alam iaitu RM6.99 sekilo (mengikut lokasi semasa saya berada).
"(Jadi) apabila kerajaan sudah membuat beberapa pelarasan, tapi kita masih memberi peluang kepada pengguna dan pembeli untuk membeli dengan bijak.. dan sebenarnya kita boleh selesaikan masalah tersebut," ujar beliau yang juga Menteri Komunikasi.
Commenti