Penyelesaian harmoni isu rumah ibadat melambangkan kematangan kerajaan
- Suara Keadilan
- Mar 27
- 2 min read

Kejayaan Kerajaan Madani menyelesaikan isu tapak rumah ibadat dalam tempoh dua minggu dengan bijaksana mendapat pujian pelbagai pihak.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, penyelesaian itu disambut baik MBM kerana tiada pihak yang terguris dalam situasi menang menang tersebut.
"Penyelesaian secara damai ini bukan sahaja mencerminkan kepimpinan yang matang dan inklusif, malah mengingatkan kita kepada peranan penting Perdana Menteri dalam menangani insiden serupa di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada tahun 1998, lebih dua dekad yang lalu yang juga diselesaikan dengan pendekatan harmoni dan penuh hikmah.
"MBM percaya Malaysia yang majmuk memerlukan ruang dialog dan persefahaman yang berterusan demi menjaga keharmonian antara kaum dan agama.
"Justeru, MBM menyeru semua pihak untuk menghentikan polemik yang boleh mengeruhkan hubungan antara komuniti serta mengajak masyarakat untuk terus memelihara semangat saling menghormati berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kata Mohd Izzat, MBM juga berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengguna pakai Piagam Harmoni yang sedang diusahakan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sebagai kerangka panduan untuk mengurus kepelbagaian antara kaum di negara ini secara menyeluruh di samping menyediakan langkah-langkah pencegahan yang proaktif.
"Sejajar dengan aspirasi membina negara bangsa yang inklusif dan bersatu, MBM melalui Jawatankuasa Harmoni akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, demi merealisasikan visi Malaysia Madani yang aman, sejahtera dan harmoni," katanya lagi.
Isu perobohan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman untuk membina Masjid Madani di atas tanah yang telah dibeli oleh syarikat Jakel di tengah tengah Kuala Lumpur berjaya diselesaikan secara baik apabila kerajaan bersetuju memberi tapak gantian kepada pihak kuil tidak jauh daripada lokasi sedia ada.
Isu tersebut sempat dihangatkan oleh beberapa NGO, pertubuhan guaman dan parti pembangkang yang mendesak agar kuil tersebut tidak dirobohkan.
Comments