
Kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi pelaksanaan penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api itu kini sedang diperhalusi dan kerajaan berpendirian untuk tidak mengumumkan sesuatu dasar secara terburu-buru.
"Perkara paling penting yang kami mahu pastikan adalah sistem ini kukuh. RON95 akan menggunakan dua peringkat harga iaitu harga subsidi dan tanpa subsidi.
"Sistem yang akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak adalah melalui MyKad
"Lebih 85 peratus rakyat akan mendapat harga bersubsidi. Itulah pendekatan penyasaran subsidi di Malaysia," katanya dipetik.
Amir Hamzah berkata begitu kepada pemberita selepas melakukan tinjauan operasi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Kuala Lumpur pada Khamis.
Kerajaan menerusi Belanjawan 2025 bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini.
Langkah itu sebagai usaha mengurangkan kebocoran subsidi kepada golongan mahakaya dan bukan warganegara yang dianggar menggunakan 40 peratus daripada subsidi bahan api disalurkan kerajaan setiap tahun.
Sementara itu Amir Hamzah sebagai mengulas kewajaran menggunakan MyKad dalam pemberian subsidi itu menjelaskan, sistem berkenaan sudah digunakan secara meluas terutama dalam penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekaligus MyKad merupakan satu medium penyaluran bantuan yang kukuh dan boleh dipercayai.
"Justeru, tidak ada beza jika MyKad diguna pakai untuk rasionalisasi subsidi RON95," tambahnya.
Kommentare