Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan Notis Bertulis (NB) memanggil 10 syarikat yang telah mengumumkan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan selepas penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu.
Notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata syarikat tersebut diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan mereka menaikkan harga barang dan perkhidmatan.
Beliau berkata,10 syarikat berkenaan terdiri daripada tiga syarikat pengangkutan, tiga bahan binaan dan masing-masing dua syarikat makanan dan minuman serta sektor sewaan jentera.
"Dua syarikat telah dipanggil semalam dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual.
"Melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.
"Baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0," katanya.
Armizan berkata setiap syarikat diminta memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.
Ujarnya, kegagalan untuk menghadirkan diri boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut.
KPDN telah melancarkan Ops Kesan 2.0 pada 8 Jun bertujuan untuk memastikan semua penentuan atau peningkatan harga dan caj yang berlaku di peringkat sektor perkhidmatan yang diluluskan permohonan subsidi diesel di bawah SKDS 2.0, sama ada kenderaan yang layak atau yang tidak layak adalah mematuhi perundangan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018, dan tidak mencatut di bawah perundangan AKHAP 2011.
"Kementerian ingin memberikan amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan kerajaan.
"Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh kementerian terutamanya di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat, manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," kata beliau.
Comments