Penyasaran subsidi diesel tidak dilakukan secara tanpa perancangan rapi meliputi beberapa penambahbaikan kepada peraturan penjagaan alam sekitar.
Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, pembangkang yang mengkritik polisi penyasaran subsidi diesel itu sengaja terlupa pada waktu Perikatan Nasional memerintah, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telahpun mengumumkan sasaran negara mencapai karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.
Katanya, dasar itu akan menggantikan polisi bahan api diesel secara proses pembakaran tenaga mengotorkan alam sekitar kepada konsep tenaga lebih alami, bersih dan boleh diperbaharui untuk kelestarian masa hadapan negara.
"Diesel hakikatnya merupakan tenaga “kotor” dan melepaskan 2.7kg karbon dioksida (CO2) bagi setiap liter diesel yang digunakan. Jika harga diesel sengaja ditekan pada tahap yang murah, ramai cenderung untuk terus membakar tenaga kotor.
"Mengikut kajian UNIMAS, bahan pencemar yang dilepaskan tidak terhad kepada CO2, malah compound beracun seperti ‘formaldehyde and polycyclic aromatic hydrocarbon’ (PAH) yang mengakibatkan 14,400 kematian daripada 82 juta orang di Jerman pada tahun 2001.
"Oleh itu, meletakkan harga diesel bersamaan dengan harga sedunia bukan sahaja menggalakkan penjimatan, tetapi mencetus kepenggunaan tenaga baru seperti tenaga suria, angin, hidro, biogas dan lain lain yang akhirnya membantu negara menjayakan agenda peralihan tenaga melalui transformasi industri serta perwujudan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi," kata Chean Chung dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, penyasaran subsidi melalui usaha peralihan tenaga lestari amat baik dan bakal menyediakan pendekatan sosio-ekonomi mapan kepada negara.
Sekurang kurangnya, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, penyasaran subsidi akan dapat mengurangkan ketirisan. Statistik terkini menunjukkan selepas 10 Jun 2024, penjualan diesel runcit telah berkurangan sebanyak 27%, ataupun 7.8 juta liter sehari.
Selain itu, katanya, negara juga telah bergerak ke arah tenaga hijau dengan lulusnya Rang Undang-undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 yang dibentangkan semula dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Jun lalu.
Akta tersebut bertujuan menambah baik dan meningkatkan kecekapan tenaga supaya tidak berlaku pembaziran.
"Selepas penguatkuasaan akta, pematuhan oleh pengguna industri, komersil dan bangunan dijangka akan mencapai penjimatan tenaga sebanyak 25%.
"Sebanyak enam negara di rantau Asia Tenggara telah menguatkuasakan akta kecekapan tenaga. Pendekatan Malaysia sebelum ini menarik pelaburan asing dengan tenaga yang murah sudah tidak lagi relevan.
"Disebabkan perubahan iklim yang mengancam kelangsungan tamadun manusia, dunia telah beralih ke hala tuju untuk menyahkarbon ekonomi supaya mencapai pengeluaran karbon sifar bersih," ujarnya.
Di peringkat Persekutuan pula, kata Chean Chung, negara sewajarnya mengangkat Sarawak sebagai hab atau zon ekonomi kepada peralihan penggunaan tenaga tanpa karbon menjelang tahun 2030 kerana muka bumi negeri itu yang luas serta banyak sumber tenaga hidro.
"Sarawak cukup kaya dengan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro. Bayangkan menjelang 2032, Sarawak sudah meletakkan sasaran untuk mengeksport tenaga ke Brunei dan Sabah, serta penyaluran 1 GW ke Singapura menjelang 2032 melalui kabel dasar laut sepanjang 700 kilometer, selain penyaluran 190 MW sedia ada ke Kalimantan Barat.
"Justeru, Kerajaan Persekutuan harus berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Sarawak bagi meneroka potensi sumber tenaga boleh diperbaharui, selain dapat mencari titik pelaksanaan bersama bagi perdagangan dan mekanisme penetapan harga karbon, levi karbon, ekonomi hidrogen, teknologi kecekapan angin serta tenaga luar pesisir dan sebagainya," katanya.
Untuk itu, Chean Chung mencadangkan agar subsidi bersasar diesel diperluas ke Sarawak untuk mengurangkan pergantungan tenaga kepada bahan api fosil.
"Cadangan saya adalah Sarawak mempertimbang menghasilkan ‘roadmap’ untuk peralihan tenaga lestari beserta usaha-usaha untuk beralih ke subsidi bersasar, agar Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dapat bersama sama menggerakkan manifestasi kesinambungan penyasaran subsidi dan peralihan tenaga lestari.
"Di samping itu bergerak ke arah sifar karbon bersih menjelang 2050, seperti termaktub dengan Perjanjian Paris tahun 2015," katanya lagi.
Comments