top of page

Penyasaran subdisi diesel sekat hak rakyat dicuri orang asing - PM



Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan kerajaan melakukan penyasaran subdisi diesel berjaya menyekat hak rakyat daripada terus dicuri oleh orang asing sejak sekian lama.


Perdana Menteri berkata tindakan agensi pelancong dan bas penumpang Singapura menaikkan kadar tambang ekoran kenaikan harga diesel di negara ini jelas menunjukkan bahawa selama ini subsidi kerajaan dinikmati oleh pihak lain.


Beliau berkata penutupan beberapa stesen minyak di sempadan negara juga dikesan kerana mereka tidak boleh lagi menjual diesel subsidi yang selama ini digunakan orang asing.


"Maknanya selama ini puluh tahun subsidi kita pergi ke syarikat Singapura, pergi ke kapal-kapal nelayan Siam, pi ke sana sini, dicuri dan bocor pun banyak.


"Daripada tahun 2012 hingga 2022 kita tengok berapa jumlah kereta bertambah, kata 3 peratus...berapa jumlah naik keperluan diesel? Puluhan peratus, tak salah 70 peratus.


"Naik jumlah kereta (guna diesel) sedikit tetapi naik penggunaan diesel melambung kerana diesel tidak digunakan hanya untuk golongan sasar yang sepatutnya menikmati subsidi kerajaan tetapi untuk orang asing," katanya dipetik Bernama ketika berucap pada Majlis Korban Perdana Bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Cerok Tokun Bawah, Pulau Pinang hari ini.


Anwar berkata sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional lagi ramai yang bersetuju dengan pelaksanaan penyasaran subsidi namun ia tidak dibuat hingga membolehkan 3.8 juta orang asing menerima manfaatnya sedangkan rakyat Malaysia yang membayar cukai dan dan kerajaan yang membayar subsidi berkenaan.


Tegas beliau, kecurian dan ketirisan subsidi kerajaan perlu dihentikan malah subsidi juga tidak sepatutnya dinikmati oleh golongan maha kaya di negara ini.


"Sebab itu kita kata yang perlu kita bagi, ada nelayan, pekebun kecil, penanam sayur, pesawah padi, pemandu bas sekolah semua kita bagi...ada lagi yang tak dapat? Kalau ada hujah boleh lagi bincang dengan kita.


"Melalui penyasaran subsidi ini sebanyak RM4 billion kita dapat selamatkan. Jadi untuk apa RM4 bilion ini yang kita selamatkan..bukan untuk naikkan elaun Perdana Menteri ataupun menteri tetapi ia akan kembali kepada rakyat," jelasnya.


Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun tidak menafikan terdapat beberapa masalah berikutan langkah penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan buat kali pertama di Malaysia, namun berjanji akan memperbaik kelemahan berkenaan.


Beliau juga mengakui bersikap terbuka menerima sebarang cadangan mengenai penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan.


"Saya ambil sikap terbuka, kalau ada beberapa kelemahan, maklum, kita betulkan. Ini percubaan awal yang tentunya menghadapi sedikit sebanyak masalah, saya tidak nafikan tetapi cerca seolah-olah kerajaan zalim, itu tidak boleh," kata beliau.


Menyentuh mengenai penurunan harga runcit telur ayam, Anwar berkata ia langkah awal bagi mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat kerana ia merupakan makanan yang paling banyak digunakan oleh rakyat di peringkat bawah.


"Kita buat kajian (didapati) keluarga paling banyak gunakan ialah telur, keluarga sederhana, miskin ambil telur empat biji sehari. Oleh itu, kita bincang dengan syarikat dan tanya untung serta turunkan sedikit harga telur tetapi tak rugi (bagi syarikat) dan kalau ada cara-cara yang lain, saya boleh ikhtiarkan," katanya.


Semalam, Anwar mengumumkan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page