
Negeri yang ditadbir pembangkang merupakan tertinggi dalam statistik kadar penyalahgunaan dadah dan hal itu perlu diinsafi oleh Perikatan Nasional (PN).
Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, penafian beberapa tokoh politik pembangkang terutama dari Kelantan baru baru ini amatlah tidak wajar kerana seolah olah mereka tidak mengakui realiti.
Katanya, pemimpin politik Pas tidak wajar menuduh negeri Selangor atau Pulau Pinang lebih tinggi kadar penyalahgunaan dadah dengan melihat statistik secara keliru.
"Kerajaan Pas enggan mengakui kelemahan, menyalahkan pihak lain. Dia kata Selangor, Pulau Pinang lebih tinggi tetapi kalau kita tengok, pihak Pas gagal membaca statistik.
"Ikut statistik per kapita setiap 100,000 bilangan penagih, negeri SG4 adalah yang paling tinggi berbanding negeri lain," kata Ahmad Nadhir dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, statistik yang dikeluarkan baru baru ini oleh pihak Kementerian Dalam Negeri adalah tepat berdasarkan jumlah penduduk, bukannya jumlah penagih mengikut negeri.
Misalnya Terengganu yang mempunyai penduduk 1.2 juta dibahagi jumlah penagih 11,393 orang dan didarab 100,000 untuk mendapat jumlah 949 penagih.
Jumlah itu, lebih tinggi daripada per kapita di Selangor yang mempunyai penduduk 7 juta.
Tambah Ahmad Nadhir, memang penguat kuasaan ke atas penyalahgunaan dadah di bawah Kerajaan Persekutuan, tanggungjawab polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tetapi penyebab rakyat terlibat dengan dadah perlu dianalisis. Apakah kerana kurangnya peluang pekerjaan di negeri SG4 dan sebagainya memberi tekanan perasaan kepada penduduknya.
"Memang betul penguatkuasaan dadah ini di bawah kerajaan pusat melalui polis, AADK dan sebagainya tetapi kesejahteraan rakyat dari sudut peluang pekerjaan, program belia berkualiti yang kondusif gagal disediakan oleh pihak kerajaan Pas, terutama di Terengganu misalnya perlu diambil kira.
"Akibat kegagalan ini mungkin rakyat beralih menghisap dadah.
"Jadi kita nak beritahu kerajaan Pas ini hanya pandai menyalahkan pihak lain tetapi orang kritik kelemahan dia, dia pula enggan mengaku," katanya lagi.
Comments