Penurunan kadar kelahiran: Pastikan wanita kekal berkerjaya selepas jadi ibu
- Suara Keadilan
- Sep 3, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Trend penurunan kadar kelahiran negara dan perkahwinan di Malaysia mendapat perhatian Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Menerusi satu kenyataan, Tze Tzin berkata, penurunan itu berkemungkinan besar terkait keengganan wanita bekerja untuk berkahwin dan memiliki anak kerana kesukaran golongan berkenaan untuk meneruskan kerjaya atau mengekalkan pendapatan yang sesuai selepas memperolehi anak.
Hal itu, kata Tze Tzin, diistilahkan sebagai 'penalti keibuan', yang perlu difikirkan oleh semua pihak bagi memastikan wanita boleh terlibat dalam tenaga kerja selepas mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu.
"Ia adalah masalah global dan Malaysia tidak terkecuali. Statistik menunjukkan bahawa hanya 55.59% wanita dalam 'usia kerja' dengan anak-anak di bawah enam tahun di Malaysia aktif bekerja.
"Terdapat wanita yang berkahwin memilih untuk tinggal di rumah bagi menjaga anak mereka, manakala yang bekerja biasanya terperangkap dalam kedudukan yang tidak membenarkan mereka untuk maju dalam kerjaya. Ini mengakibatkan ramai wanita (mengambil keputusan) kekal bujang," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia itu mencadangkan beberapa langkah bagi meningkatkan kadar perkahwinan dan kadar kelahiran di Malaysia.
"Tindakan pertama adalah sektor awam dan swasta harus mengubah cara mereka beroperasi untuk menjadikan tempat kerja lebih mesra wanita.
"Ini termasuk menyediakan fleksibiliti seperti bekerja dari rumah, masa kerja anjal, dan jadual kerja yang mesra wanita.
"Kelonggaran ini penting untuk mengekalkan wanita dalam tenaga kerja dan mengelakkan mereka daripada keciciran," ujarnya.
Selain itu, kata Tze Tzin, pembahagian kerja rumah antara suami dan isteri juga perlu dibuat secara adil bagi membolehkan kaum wanita terus bekerja dengan lebih baik dan selesa.
Jelasnya, menangani cabaran itu memerlukan usaha kolektif dari masyarakat untuk memastikan golongan wanita terus terbela dan tidak dibelenggu dengan fenomena ‘penalti keibuan’.
Comments