top of page

Penubuhan Majlis Media Malaysia seragamkan etika, standard media



Oleh: Akmal Manaf


Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, diharap dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media global, sekali gus memperkukuh peranan media sebagai tunjang demokrasi.


Hal itu disuarakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang turut menjangkakan akta tersebut akan menjadi batu loncatan penting dalam usaha menjadikan industri media lebih profesional, telus, dan bebas.


Katanya, setelah bertahun-tahun perbincangan dan usaha dilakukan, Kerajaan MADANI akhirnya berjaya menubuhkan sebuah badan pemantauan media yang bebas.


''Ini bukan sahaja memastikan perkembangan industri media selari dengan piawaian etika yang tinggi, tetapi juga menjamin kebebasan media yang amat penting dalam sistem demokrasi.


''Selama ini, Malaysia tidak mempunyai satu garis panduan etika media yang seragam, menyebabkan setiap organisasi media mengamalkan standard yang berbeza-beza.


''Dengan penubuhan MMM, industri media kini mempunyai satu rangka kerja yang lebih jelas untuk memastikan laporan berita yang adil, objektif, dan berwibawa.


''Ini bukan sahaja meningkatkan profesionalisme media, tetapi memberi manfaat kepada perkembangan kerjaya pengamal media serta memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap kewibawaan berita yang dilaporkan,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi Nasional KEADILAN berkata, akta itu juga memperkenalkan mekanisme aduan dan pemantauan yang lebih berkesan untuk masyarakat.


Sebelum ini ujarnya, rakyat sering menghadapi kesukaran dalam mengemukakan aduan terhadap laporan media kerana saluran aduan yang tidak jelas.


''Kini, dengan adanya MMM, rakyat boleh menyuarakan kebimbangan mereka melalui prosedur yang sah, telus dan adil, memastikan setiap organisasi media bertanggungjawab terhadap laporan yang diterbitkan.


''Ini akan memperkukuh mekanisme akauntabiliti dalam industri media dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media.


''Perlu ditekankan bahawa akta ini turut memberi perhatian kepada prinsip kepelbagaian dan keterangkuman.


''Keanggotaan lembaga MMM diwajibkan untuk mempunyai keseimbangan jantina, di mana setiap kategori anggota mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil wanita,'' katanya lagi.


Beliau juga memuji akta yang diperkenalkan, iaitu turut mengambil kira suara dari Sabah dan Sarawak sebagai wakil dalam MMM.


Katanya, langkah itu bukan sahaja memperkukuh kesaksamaan gender dalam kepimpinan media, tetapi mencerminkan kepelbagaian dalam landskap media negara.


''Kerajaan Perpaduan komited dalam usaha meluluskan akta ini sebagai bukti keprihatinan terhadap prinsip demokrasi, kebebasan media, dan integriti kewartawanan.


''Dengan penguatkuasaan akta ini, kita berharap untuk melihat persekitaran media lebih bebas, bertanggungjawab dan telus.


''Semoga MMM dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif dalam memastikan piawaian profesionalisme media terus dipelihara serta menyumbang kepada kemajuan negara,'' katanya lagi.

Commentaires


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page