
Kementerian Pendidikan (KPM) menyeru pihak sekolah supaya memohon dana penyelenggaraan sekolah untuk membaik pulih sebarang kerosakan infrastruktur bangunan dengan segera.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, usaha itu bagi memastikan aspek keselamatan murid sentiasa terjamin.
"Kementerian Pendidikan menyediakan peruntukan RM900 juta hingga RM1 bilion bagi penyelenggaraan institusi pendidikan setiap tahun dan mengeluarkan notis kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan untuk memohon dana bagi penyelenggaraan sekolah masing-masing.
"Bagi sekolah-sekolah bantuan kerajaan, setiap tahun permohonan ada tempoh masa untuk sekolah (mohon), untuk sekolah kerajaan pula permohonan dapat dimasukkan dalam sistem sepanjang tahun," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu selepas merasmikan Pertandingan Seni Khat TS 2025 Peringkat Negeri Perak Sentral Mall Taiping semalam.
Terdahulu tular dakwaan seorang wanita yang memaklumkan anaknya mengalami kecederaan di tangan akibat tertusuk besi tangga sekolah yang berkarat, dalam kejadian yang dipercayai berlaku Khamis lepas.
Akibat kecederaan itu, wanita berkenaan mendakwa anaknya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kos hampir RM10,000 selepas gagal menerima rawatan segera di hospital kerajaan.
Comments