Oleh: Abdullah Zaid
Syarikat platform media sosial, Meta Platforms Inc (Meta) digesa mengambil tanggungjawab penuh susulan kejadian penipuan dalam talian melibatkan seorang peniaga, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, mangsa Kang Chi Ming dilaporkan mengalami kerugian sekitar RM80,000 ketika menggunakan platform Facebook bagi tujuan pengiklanan produknya.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari melalui kenyataan bank yang membuat pembayaran di Facebook, dipercayai milik sebuah syarikat berpangkalan di Vietnam.
Menyedari hal itu, mangsa telah meminta pihak bank membekukan kad kreditnya selain telah mengemukan laporan polis dan Meta berhubung insiden itu.
"Mangsa merupakan pelanggan setia kepada Facebook dan telah membelanjakan ratusan ringgit demi menjayakan perniagaaan beliau
"Namun kad kredit beliau telah disalahguna dan lebih malang mangsa berada dalam situasi terpinggir kerana masih tiada apa-apa tindakan daripada Meta selama lapan bulan selepas daripada insiden tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Petaling Jaya, hari ini.
Jelasnya, pihak Meta seharusnya mengambil langkah proaktif dalam memastikan platform itu selamat kepada rakyat Malaysia daripada ancaman pengodam dan scammer.
"Tidak boleh kata platform media sosial neutral kalau diiklankan surat khabar sudah tentu syarikat itu dikenakan undang-undang.
"Jadi kita perlu sediakan mekanisme pengawalan yang sesuai supaya keselamatan rakyat Malaysia dijaga dan tidak diabaikan," ujarnya lagi.
Tambah Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, pihak Meta sepatutnya melakukan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan operasi pembasmian di peringkat penguat kuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan sistematik.
"Data pengguna ini penting untuk keselamatan rakyat Malaysia, jadi kerjasama dengan PDRM juga penting untuk menyelesaikan masalah penipuan online dengan menangkap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini," ujarnya.
Jelas Chean Chung, pihaknya juga telah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi tindakan lanjut.
Comments