Peningkatan peruntukan pembangunan belia kepada RM2.8 juta dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 oleh Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari pada 15 November lalu disambut baik oleh Angkatan Muda Keadilan Selangor.
Menurut Timbalan Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq peningkatan peruntukan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dari RM6,000 kepada RM10,000 itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperbaiki aspek pembangunan belia.
"Inisiatif tersebut diyakini memberi impak besar kepada program-program di peringkat akar umbi, sekali gus memperkasa belia untuk memainkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan komuniti belia.
"Dengan tambahan dana ini, PeBS berpeluang memperluaskan skop aktiviti yang lebih inklusif, inovatif kepada anak muda Selangor selain membuka ruang untuk melibatkan lebih ramai belia dalam aktiviti yang memupuk semangat kepimpinan, dan nilai sosial yang positif," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, ujar Iman, AMK Selangor optimis untuk bersama-sama menggerakkan inisiatif berkenaan melalui program yang lebih mampan demi pembangunan anak muda Selangor ke arah lebih sejahtera.
Pada masa sama, katanya, AMK Selangor juga menyeru anak muda mengambil peluang yang disediakan bagi menyertai program-program PeBS dan memanfaatkan sepenuhnya sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.
Comentários