Peningkatan pelaburan Infineon bukti keyakinan pelabur terhadap Malaysia
- Suara Keadilan
- Aug 9, 2024
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemasukan pelaburan bernilai tinggi termasuk melibatkan Infineon Technologies AG (Infineon), firma penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman menunjukkan Malaysia mendapat keyakinan daripada pemain-pemain industri antarabangsa.
Perdana Menteri (PM) berkata, perkembangan tersebut merupakan satu kejayaan bagi Malaysia dan Kedah dalam menarik pelaburan.
"...lihat Infineon, syarikat ini memutuskan (untuk melabur di Malaysia), pasti ada alasan yang baik, (seperti) infrastruktur, insentif menarik dan disiplin tenaga kerja profesional.
"Kemunculan mereka untuk melabur dalam fabrikasi tenaga silikon 200mm terbesar dunia, sudah cukup untuk menjadi daya penarik bagi negara ini," katanya dipetik semasa berucap di majlis perasmian Infineon Technologies Kulim 3 di Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah semalam.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Technologies AG Jochen Hanebeck.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan berkata Infineon akan menambah pelaburan lima bilion Euro (RM30.1 bilion) bagi Fasa 2 pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar dunia di Kulim.
Jumlah itu adalah tambahan daripada pelaburan awal sebanyak dua bilion Euro (RM9.7 bilion) membabitkan Fasa 1.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kehadiran Infineon di negara ini bersama loji pembuatan terbaharunya menyaksikan penerokaan ke dalam teknologi baharu dengan fokus diberikan secara tepat.
"Saya mahu rakyat Malaysia faham bahawa perkembangan ini adalah hasil penyelidikan oleh profesional berkemahiran tinggi, pekerja berdedikasi, dan disiplin yang hebat. Infineon ialah perusahaan semikonduktor dan industri fabrikasi utama, berada di peringkat paling maju dalam bidang ini," katanya.
PM berkata kemudahan baharu milik Infineon itu akan meningkatkan imej Malaysia di peringkat global dalam menarik lebih banyak pelaburan bertaraf dunia.
"Projek luar biasa Infineon ini akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor global yang semakin meningkat dan ini menjadi daya tarikan utama pelabur ke negara ini.
"Ini juga akan menyokong usaha Malaysia dalam meningkatkan kecekapan dalam pelbagai industri lain termasuk dalam bidang pembuatan kereta elektrik, bateri dan tenaga boleh diperbaharui," katanya.
Dalam pada itu, Anwar mahu Malaysia bergerak lebih pantas dalam meningkatkan industri elektrik dan elektronik (E&E) bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar utama semikonduktor dunia.
"Kita perlu bersedia, infrastruktur mestilah cemerlang. Ini melibatkan KHTP, kerajaan negeri dan agensi Persekutuan. Kita tidak sepatutnya dan tidak boleh bertolak ansur dengan ketidakcekapan atau sebarang kelewatan.
"Apabila syarikat seperti Infineon menunjukkan minat untuk melabur, kita mesti membalas dengan komitmen yang jelas.
"Yang kedua ialah ekosistem. Mengapa Malaysia kini dianggap sebagai hab di rantau ini bagi ekosistem? Kita bersaing dengan jiran kita kerana kita mempunyai kelebihan selama lebih dua atau tiga dekad yang lepas," katanya.
Commentaires