Peningkatan jangka hayat penduduk Selangor daripada 65 tahun kepada 78 tahun memerlukan lebih banyak kemudahan untuk melaksanakan aktiviti para warga emas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri pada waktu ini sedang dalam usaha menyediakan lebih banyak pusat aktiviti untuk golongan berkenaan.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas ( PAWE ) DUN Sungai Tua pagi tadi.
"Negeri Selangor berdepan cabaran baharu. Cabarannya adalah bagaimana untuk mengadaptasi kewujudan warga emas dalam jumlah yang besar dan masih memerlukan aktiviti.
"Ini dibuktikan dengan peningkatan kadar hidup di kalangan rakyat negeri. Pada 2008 jangka hayat rakyat negeri Selangor adalah 65 tahun. Data terbaharu diberikan oleh Jabatan Statistik Malaysia menyebut jangka hayat rakyat negeri Selangor meningkat kepada 78 tahun
"Kita gembira kerana ini menandakan sistem kesihatan kita bertambah baik tetapi cabaran kepada kerajaan sekarang, kita tidak boleh fikir taman asuhan kanak kanak tetapi kita perlukan pusat warga emas beraktiviti," katanya.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua dalam pada itu memuji usaha yang dilakukan oleh persatuan warga emas setempat yang mempunyai pelbagai perancangan. Katanya, kemudahan yang akan dibina bakal membolehkan mereka mengadakan lebih banyak aktiviti.
Pusat warga emas itu selepas siap, katanya, akan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Selayang dan persatuan warga emas boleh menempah penggunaannya secara percuma.
Kommentare