Golongan peniaga disaran agar tidak menjual produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk minyak sawit.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, tindakan menjual produk dengan label no palm oil (NPO) atau tiada minyak sawit sepatutnya tidak dibenarkan kerana minyak sawit adalah produk tempatan yang dikeluarkan di negara ini.
"Jika peniaga mengambil tindakan menutup label pun, kita tahu pengeluar produk berkenaan berpendirian untuk memboikot minyak sawit.
"Jadi, tidak seharusnya peniaga bersekongkol dengan usaha sedemikian sebab mereka memboikot barang kita. Saya menyeru supaya peniaga peka," katanya dipetik.
Fuziah berkata begitu pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2024 di Seremban pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan KPDN menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 di Putrajaya semalam kerana disyaki menjual produk aiskrim tertera perkataan 'tiada minyak sawit' pada plastik pembungkusan produk itu.
Kesemua produk aiskrim terbabit disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60.
Sebagai rekod, kerajaan sedang giat mempromosikan produk berasaskan sawit dan aktiviti pemasaran sawit di pasaran antarabangsa bagi meningkatkan pengiktirafan serta permintaan minyak sawit dan produk sawit keluaran Malaysia.
Malaysia mencatat nilai eksport minyak sawit berjumlah RM40.51 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023 dengan kuantiti eksport sebanyak 9.66 juta tan
Fuziah sementara itu mengingatkan, mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, ada peraturan berkaitan larangan penggunaan penyataan atau ungkapan boikot sebegitu.
"Berpandukan akta itu, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda RM250,000 atau lima tahun penjara," katanya.
Comments