Pengurusan HRDF Corp: Menteri Sumber Manusia arah laporan SPRM dibuat
- Suara Keadilan
- Jul 5, 2024
- 2 min read

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan terhadap laporan yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan pengurusan Perbadanan Sumber Manusia Bhd (HRDF Corp) serta pengurusan sistem pekerja asing semalam.
Menterinya, Steven Sim, berkata tindakan itu sejajar dengan syor oleh Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi kepada kementerian berkenaan dalam laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
"Sejajar dengan syor Ketua Audit Negara, saya mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Shahul Dawood untuk membuat laporan kepada SPRM mengenai penemuan laporan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Steven berkata, kementerian memandang serius laporan yang dikemukakan oleh Ketua Audit Negara dan PAC di Parlimen semalam.
Jelas beliau pihaknya telah dimaklumkan tentang proses pengauditan oleh kedua-dua badan itu ketika mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember lalu dan mengarahkan agar kementerian dan HRDF Corp memberikan Kerjasama penuh.
Proses audit itu berlangsung dari 2019 hingga 2023.
"Dalam masa enam bulan ini, KESUMA telah memulakan proses rekayasa merentasi seluruh kementerian untuk memastikan tatakelola yang baik dan proses yang cekap di seluruh kementerian dan agensinya.
"Matlamat saya adalah untuk memastikan kementerian mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tinggi," tegasnya.
Tambah beliau, rekayasa di perinkat HRDF Corp telah dilaksana untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara dan PAC tidak berulang.
"KESUMA tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut. Kementerian tidak akan berkompromi dengan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sidang media di Dewan Rakyat mendedahkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2015 meluluskan dua sistem pengurusan pekerja asing yang melaksanakan fungsi sama.
Beliau berkata, pembangunan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) oleh KESUMA dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan Kabinet pada 26 Ogos 2015.
PAC mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem sama berkonsepkan 'single window' sekali gus menyebabkan berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam.
Antara kelemahan lain dikesan PAC berkaitan pengurusan kawalan dokumen pengenalan (ID) dalam sistem FWCMS yang mana terdapat dua ID bukan dalam kalangan pegawai KESUMA dikesan.
Selain itu, terdapat 24 pengguna tidak diperakui yang meluluskan 24 permohonan majikan melalui sistem berkenaan.
Sementara itu, dalam jawapan balasnya mengenai penemuan PAC, Lembaga Pengarah HRD Corp memaklumkan pihaknya melaksanakan tujuh reformasi dalam usaha untuk menambah baik tatakelola organisasi itu tahun ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, berkata tujuh reformasi berkenaan ialah pemansuhan projek Skills Passport tanpa sebarang kos dan kerugian kepada PSMB mahupun kerajaan serta pengasingan 'Jawatankuasa Risiko dan Audit' menjadi dua jawatankuasa berbeza iaitu 'Jawatankuasa Risiko' dan 'Jawatankuasa Audit'.
Katanya, setiap jawatankuasa itu dianggotai oleh Ahli Lembaga pengarah berbeza dan akan dipengerusikan oleh dua ahli lembaga bebas bukan eksekutif, berpengalaman dalam bidang utama dalam kedua-dua fungsi itu.
Comments