Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek menyeru pengundi di Sungai Bakap memberi sokongan penuh kepada calon diketengahkan kerajaan.
Jelasnya, Dr Joohari Ariffin bukan sekadar anak jati Sungai Bakap yang memahami denyut nadi masyarakat setempat, malah lebih daripada itu beliau juga seorang pendidik yang berpengetahuan tinggi dan berpengalaman luas dari segi kepimpinan.
"Saya menyeru pengundi di Sungai Bakap untuk memberi sokongan penuh kepada Dr Joohari dan Kerajaan Perpaduan.
"Masyarakat (di Sungai Bakap) memerlukan pemimpin yang berkualiti, mampu memimpin ke arah lebih baik secara holistik termasuk dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan.
"Ini penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat berlangsung dengan baik," kata Ketua Wanita parti KEADILAN itu dipetik.
Fadhlina sebelumnya ditemui pemberita selepas hadir ke Peluncuran Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) di Nibong Tebal pada Khamis.
Beliau optimis Kerajaan Perpaduan mampu menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bakal diadakan pada 6 Julai depan.
"Saya melihat mood (suasana) yang sangat baik dalam kalangan masyarakat di Sungai Bakap yang inginkan perubahan.
"Jadi saya kira ada peluang cerah untuk calon Kerajaan Perpaduan memenangi PRK DUN Sungai Bakap kali ini," katanya.
Comments