Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap diseru memilih calon yang berpengetahuan dan berwatak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan 6 Julai ini.
Ketua Wanita parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fadhlina Sidek berkata, masyarakat di kawasan itu memerlukan pemimpin berkualiti yang dapat memimpin DUN Sungai Bakap ke arah lebih baik dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan.
"Kepada semua pengundi Sungai Bakap, calon Perpaduan ini (Dr Joohari Ariffin) bukan calang-calang. Dia calon yang berotak dan berwatak, wibawanya, santunnya dan juga hemah yang tinggi budi bahasanya.
"Saya sebagai Menteri Pendidikan risau, kalau calon ini terus dipertikaikan kerana kita sedang membina generasi yang benar-benar mengangkat isu pendidikan ini sebagai isu yang sangat penting," katanya dalam ceramah malam tadi.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata tidak ada orang yang lebih memahami pendidikan melainkan Joohari yang merupakan bekas guru dan anak jati Sungai Bakap.
Justeru beliau yakin bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik, untuk anak-anak Sungai Bakap sekiranya dipilih mewakili rakyat di kawasan itu.
Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.
コメント