Kemenangan dengan majoriti luar biasa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota semalam memberi isyarat bahawa rakyat Johor amat menerima Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Bagi Pengarah Pilihanraya KEADILAN Johor, Naim Jusri, kemenangan tersebut juga memperlihatkan kematangan Bangsa Johor dalam berpolitik berbanding negeri lain.
"KEADILAN Johor mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Syed Hussein Syed Abdullah daripada Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan.
"Kemenangan ini juga melengkapkan timbal-balik kerjasama pada PRK Simpang Jeram dan Pulai yang ditandingi PH-AMANAH seterusnya dibawa ke PRK Mahkota yang ditandingi BN-UMNO.
"Keserasian ini membuktikan juga Bangsa Johor mempunyai kematangan politik yang tinggi dalam menanggapi perbezaan dan meraikan permuafakatan," katanya dalam kenyataan.
Menurut Naim lagi, sepanjang kempen PRK kegigihan Menteri Besar, Datuk Onn Ghazi dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi yang menjadi ‘anchor’ bagi menjayakan kerjasama Pakatan Harapan-BN sewajarnya dipuji.
Katanya, kerjasama erat UMNO-DAP-MCA-MIC itu memasakkan keyakinan tinggi ke dalam hati pengundi PH dan BN untuk mengundi calon Perpaduan.
"‘Vote Transferability’ diantara PH dan BN juga ‘Solid’ dengan merujuk kepada jumlah undi yang diterima pada PRN-15 (2022) yang lalu.
"Di mana jumlah undi PH (11,445) dan BN (16,611) diterjemahkan pada PRK Mahkota kali ini dengan jumlah undi yang hampir sama sebanyak 27,995 undi dengan Majoriti 20,648.
"Pengundi Mahkota telah memberi isyarat jelas sokongan padu kepada Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri yang menaungi kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz dalam membangunkan ekonomi dan infrastruktur Bangsa Johor," katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut berharap sinergi perpaduan yang ditunjukkan dalam kempen diterjemahkan secara tuntas dan ikhlas dalam pentadbiran dan pembinaan polisi Johor.
Katanya, Johor akan mencapai kestabilan politik yang lebih baik dan pengembangan ekonomi yang lebih mampan pada masa hadapan.
Naim juga menitipkan petikan kata kata hikmah dari tokoh kemerdekaan India, Mahatma Gandhi: “Unity to be real must stand the severest strain without breaking.”
Comments