Oleh: Abdullah Zaid
Pengukuhan nilai mata wang ringgit sepanjang minggu lalu yang mencatat paras tertinggi sepanjang tahun memberi isyarat bahawa keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia meningkat.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, pencapaian di luar jangka itu menunjukkan dasar-dasar yang dipacu Kerajaan Madani ketika ini berada di landasan yang betul, tidak sebagaimana didakwa pembangkang.
"Apa yang kita lihat dari segi pemulihan ringgit adalah berpunca dari dua faktor. Pertama dasar ekonomi Kerajaan Madani yang mengarah pelaburan GLIC (syarikat pelaburan milik kerajaan) untuk pulang (bawa modal) ke Malaysia.
"Kedua, kejayaan Kerajaan Madani menarik perlaburan asing dari sektor teknologi dan (industri) mikrocip," katanya kepada Suara Keadilan.
Untuk rekod, nilai ringgit semalam mencecah 4.4000/4150 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Prestasi itu dilihat lebih baik berbanding jangkaan awal Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menyasarkan ringgit mengukuh kepada 4.5 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang Disember ini.
Dalam pada itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar ketika berucap di Sabah kelmarin berkata, ringgit kini berada pada paras paling kukuh dalam tempoh 14 tahun berikutan dasar Kerajaan Perpaduan dan usaha kolektif untuk membangunkan negara.
Perdana Menteri berkata, walaupun pembangkang sering mendakwa mata wang itu merosot, ia sebenarnya telah menunjukkan trend pemulihan yang positif di bawah pentadbiran semasa.
Comentarios