Pengukuhan nilai ringgit selama sebulan berturut turut sepanjang September 2024 masih belum mencapai nilai sebenar mata wang berkenaan sekiranya dibandingkan dengan saiz ekonomi Malaysia.
Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ringgit mungkin berada pada nilai saksama sekiranya mengukuh sekitar RM3.80 untuk satu dolar Amerika Syarikat (AS$).
"Ia masih berada di bawah nilai sebenar (walau sekarang) pada kadar RM4.10 (berbanding dolar).
"Orang ramai tahu bahawa ia pernah berada pada kadar RM3.80 tetapi lebih baik ia mengukuh secara berperingkat tanpa campur tangan
"Biarkan kuasa pasaran menentukan. Ia akan mencerminkan keyakinan terhadap dasar kerajaan dan cara kami melaksanakan pembaharuan," kata Anwar ketika ditemuramah oleh agensi media CNBC semalam.
Ringgit pada Jumaat lalu berada pada paras RM4.21 berbanding dolar.
Kedudukan itu jauh lebih baik daripada Ogos sebelumnya, iaitu RM4.55 per AS$1. Dalam pada itu terdapat penganalisis ekonomi membayangkan ringgit boleh mencecah paras RM3.55 berbanding dolar pada tahun hadapan.
Menjawab pertanyaan wartawan CNBC, adakah pengukuhan ringgit akan menyebabkan eksport Malaysia menjadi lebih mahal dan mengurangkan daya saing sebagai negara pengeksport, Anwar berkata, hal itu tidak terlalu membimbangkan. Malah katanya, pengukuhan ringgit juga baik kerana Malaysia dalam masa yang sama banyak mengimport barangan dari luar.
"Ya ia akan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pengeskport (namun ia) tidak begitu ramai dan tidak terlalu serius kerana ia masih berada di bawah nilai
"Bagaimanapun ia telah memberikan banyak manfaat kerana kita adalah negara perdagangan dan banyak (juga) mengimport dari negara luar," katanya.
Comments