Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN Bandar Tun Razak menyeru individu yang layak mendaftar Program Bantuan Budi Madani membuat pendaftaran segera bagi mendapat manfaat pemberian subsidi diesel bersasar.
Ketuanya Fitri Ramli berkata, pemberian wang tunai RM200 Budi Madani itu terbuka pada bila-bila masa untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi dari golongan B40 serta M40 di Semenanjung Malaysia.
"Kita menyokong pelaksanaan (subsidi bersasar) ini kerana memfokuskan kepada salah satu teras daripada enam nilai teras Kerajaan Madani, iaitu menjaga kesejahteraan ekonomi semua rakyat Malaysia.
"Kerajaan Madani sentiasa mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, menurut Ketua AMK Cabang Bandar Tun Razak itu lagi, pemberian subsidi bersasar amat perlu dilakukan bagi memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar layak menerima subsidi berkenaan.
Katanya, tidak wajar kerajaan menanggung subsidi pukal kepada pengguna-penguna kereta diesel mewah seperti Bentley Bentayga V8, Porsche Macan V6, Audi Q7 V12, Mercedes-Benz S class, Volkswagen Touareg dan sebagainya.
"Statitik peningkatan jualan kereta mewah di Malaysia dijangka mencecah AS$165 juta pada tahun 2024 dan dijangka
menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR 2024 – 2028) sebanyak 3.35%. Manakala sasaran pasaran sebanyak A$188 juta menjelang 2028," katanya.
Ketirisan diesel pula, kata Fitri, begitu tinggi akibat penyeludupan terutama di negeri bersempadan dengan Thailand yang mana harga diesel di negara berkenaan melebihi RM4.00 seliter.
"Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, sebanyak 3 juta liter diesel diseludup keluar per hari yang mengakibatkan negara kerugian sebanyak RM4.4 juta sehari," katanya lagi.
Bagaimanapun, kata Fitri, para pemohon subsidi bersasar yang tidak diluluskan boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman web Budi Madani iaitu https://budimadani.gov.my.
Comments