Oleh: Azuan Ab Rahman
Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan menyifatkan keputusan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan merupakan hukuman yang wajar.
Melalui satu kenyataan, Ammar menegaskan Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) itu telah bersikap tidak profesional, melanggar etika Parlimen dan boleh dianggap menghina Parlimen yang dinaungi oleh Majlis Raja-raja Melayu apabila membangkitkan tuduhan yang disandarkan melalui surat layang.
Tindakan menamakan penjawat awam yang kononnya “dalang” mengancam kedaulatan negara yang dipetik dari surat layang tersebut juga tegasnya telah mewujudkan penghinaan terhadap penjawat awam.
"Hakikatnya, beliau tidak dapat membuktikan kesahihan maklumat yang dinyatakan dalam surat layang itu yang jelas fitnah dan adu domba untuk memburukkan penjawat awam.
"Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya bersikap matang dan berintegriti dengan mendapatkan sumber sahih dan bukan bersandarkan surat layang dalam perbahasan Parlimen," tegasnya melalui kenyataan tersebut.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan Wan Ahmad Fayhsal digantung susulan tindakan Ahli Parlimen Machang itu membangkitkan isu sepucuk surat layang di Dewan Rakyat, kononnya dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Keputusan itu dibuat selepas usul menggantung Wan Ahmad Fayhsal daripada Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan mendapat sokongan 100 Ahli Parlimen, manakala 63 tidak bersetuju menerusi undi belah bahagian, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Sementara itu Ammar berkata hal ini juga bukan kali pertama Ahli Parlimen PN melanggar etika Parlimen.
Pada Februari lepas, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan hampir digantung selama enam bulan akibat memfitnah Perdana Menteri namun akhirnya mengemukakan permohonan maaf atas tindakan berkenaan.
"Justeru, Angkatan Muda Harapan menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Bersatu untuk menjalankan program khas bagi mendidik barisan Ahli Parlimennya agar lebih berintegriti dan tidak memfitnah sewaktu berbahas di Dewan Rakyat. Cukup-cukuplah menabur fitnah," kata Ammar.
コメント