Pendirian Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang ingin terus berkhidmat menerajui Kerajaan Negeri sehingga tamat penggal disambut baik Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor.
Menurut Timbalan Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq, pengekalan Amirudin sebagai MB amat penting bagi menjamin pertumbuhan pesat ekonomi negeri yang diusahakan beliau diteruskan.
"AMK Selangor menyambut baik kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang mahu kekal di Selangor sehingga akhir penggal ini.
"Pendirian itu wajar diambil memandangkan ia selari dengan perkenan dan nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu ADUN Sungai Tua itu terus menjadi Menteri Besar Selangor," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Muhammad Iman juga berpendapat jawapan tepat MB tempoh hari menutup segala kemungkinan yang dispekulasikan oleh sesetengah pihak bahawa terdapat pemimpin UMNO yang akan menyertai KEADILAN dan seterusnya menggantikan kedudukan Amirudin yang mungkin berkhidmat dalam kerajaan pusat.
"Ia secara tidak langsung menutup segala desas-desus kononnya ada pihak tertentu akan menyertai KEADILAN sekali gus menggantikan Datuk Seri Amirudin sebagai Menteri Besar baharu.
"Pengekalan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai pemimpin nombor satu negeri penting bagi menjamin kestabilan Kerajaan Perpaduan dan ekonomi negeri," katanya lagi.
Sehubungan itu, Muhammad Iman menyeru jentera KEADILAN agar bekerja keras bagi mengukuhkan kedudukan parti dan memastikan kemenangan dua pertiga kerusi DUN pada pilihan raya negeri empat tahun akan datang sebagai tanda menyokong padu MB Amirudin mentadbir negeri.
Comments