
Keretapi Tanah Melayu (KTMB) menunjukkan potensi pertumbuhan dalam sektor rel di negara ini apabila pada tahun lalu, ia berjaya mengendalikan enam juta tan kargo, meningkat 15% berbanding 2023, demikian menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata pemulihan ekonomi negara serta pertumbuhan perdagangan serantau, KTMB menjangkakan pertumbuhan sebanyak 10% setiap tahun bagi pengendalian kargo domestik dan rentas sempadan melalui pengangkutan rel.
Bagi mencapai sasaran tersebut Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan KTMB telah melaksanakan inisiatif memajak lokomotif dan gerabak secara “Pay-As-Use” bagi tempoh jangka panjang dengan sokongan penuh sektor swasta, tanpa menggunakan dana awam, katanya.
"Model pajakan ini adalah satu pendekatan baharu dan strategik dalam menyokong operasi pengangkutan rel kargo.
"Ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap peruntukan kerajaan, malah menyediakan sistem pengangkutan rel yang lebih mampan, fleksibel dan berdaya saing," katanya.
Beliau berkata ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Operasi Lokomotif dan Gerabak Pajakan Secara “Pay-As-Use” untuk Perkhidmatan Kereta Api Kargo di Sentul hari ini.
Pada Ogos lalu, Loke mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan kaedah pajakan dari 2024 hingga 2027 dengan menyasarkan tren penumpang baharu dengan kos RM10.7 bilion.
Melalui sistem "Pay As Use" pula sebanyak 44 lokomotif milik RAC akan dibaik pulih dan diperbaharui sebelum dipajak semula kepada KTMB manakala enam lokomotif baharu akan dipajak terus oleh SMH Rail kepada KTMB.
"Sebanyak 450 gerabak baharu — 246 unit milik RAC dan 204 unit milik KTMB — masing-masing dengan kapasiti 20-tonne axle load dan keupayaan membawa sehingga 60 tan satu gerabak akan tersedia untuk disewa bagi pengangkutan kargo," kata Loke.
Jelas beliau program pajakan ini juga akan memberi manfaat kepada vendor-vendor tempatan yang bekerjasama dengan SMH Rail dalam pelaksanaan kerja-kerja Maintenance, Repair, dan Overhaul (MRO) sepanjang tempoh pajakan.
"Ini akan meningkatkan keupayaan industri tempatan, memperkukuh ekonomi negara, serta mempercepatkan pertumbuhan sektor pengangkutan rel," ujarnya.
Beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuhkan program pajakan lokomotif dan gerabak dengan kerjasama sektor swasta tempatan.
"Ini akan membolehkan pengendali kargo mengakses aset berkualiti tanpa bebanan kewangan yang tinggi, sekali gus menjadikan industri rel lebih kompetitif dan berdaya tahan," jelasnya.
Comments