Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Salleh yang mempertikaikan proses pengampunan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 lalu terus dikecam.
Kali ini, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menggesa Dr Akmal menyemak fakta sebelum semberono mendakwa pengampunan Anwar mungkin tidak mengikut prosedur ditetapkan.
Kata Faezuddin, pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar adalah hasil daripada proses undang undang yang sah. Ianya bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kerajaan ketika itu membuat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan beliau.
Permohonan tersebut, katanya, dibentangkan kepada Lembaga Pengampunan yang terdiri daripada ahli-ahli yang berkenaan dan Agong pada waktu itu, Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh.
"Ini (pengampunan penuh) sememangnya hak prerogatif baginda yang dijamin di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
"Pengampunan itu sekaligus membersihkan YAB Datuk Seri Anwar daripada sebarang sabitan dan membolehkan beliau kembali aktif dalam arena politik negara," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, ujar Faezuddin, pihak yang mempertikaikan kesahihan prosedur pengampunan telahpun mencabarnya di mahkamah, dan pada 2023 lalu Mahkamah Persekutuan Putrajaya telah menolak permohonan seorang peguam untuk mengembalikan saman mencabar kesahan proses pengampunan diraja tersebut.
Dengan ditutupnya kes perundangan ke atas pengampunan, Faezuddin berkata, adalah terlalu dangkal apabila Dr Akmal masih ingin memainkan isu berkenaan dalam kenyataannya.
"AMK Johor ingin menasihatkan Dr Akmal agar menyemak fakta dan memahami proses ini sebelum membuat kenyataan yang berbaur prejudis.
"Sebagai pemimpin, adalah penting untuk beliau memastikan kenyataannya tidak mengelirukan rakyat atau mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi diraja.
"Sebagai Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal juga perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutamanya apabila UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sering menekankan kepentingan untuk saling menghormati dalam kalangan parti komponen kerajaan.
"Bagaimana kita boleh menuntut pihak lain menghormati UMNO jika pemimpin UMNO sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan? Adakah tindakan menyerang rakan komponen ini adil dan wajar, terutamanya ketika negara memerlukan kestabilan," katanya.
Sehubungan itu, Faezuddin menasihatkan Pemuda UMNO untuk memastikan Kerajaan Perpaduan agar kekal utuh dan setiap parti komponen mesti saling menghormati serta menjaga keharmonian.
Sebarang serangan terhadap rakan komponen, katanya, hanya akan melemahkan perpaduan dan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
"AMK Johor menyeru semua pihak, khususnya pemimpin politik, untuk menghormati Institusi Raja dan perlembagaan negara.
"Pengampunan diraja bukan isu untuk dipolemikkan secara politik, sebaliknya ia adalah salah satu cabang keadilan yang ada dalam sistem perundangan kita.
"Sebarang kenyataan berkaitan isu ini haruslah berdasarkan fakta yang tepat, konsisten, dan bertanggungjawab," katanya lagi.
setuju.dan hrp pimpinan umno menegur si pemuda yg benci kan perpaduan(terang dan nyata).