Golongan pengamal media diseru bersama-sama membantu kerajaan dalam menangkis penyebaran berita tidak benar, khususnya di platform media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata banyak maklumat di plaform media sosial mengandungi berita palsu atau diputarbelitkan.
"Oleh itu saya mohon rakan-rakan media untuk membantu Kementerian Komunikasi khususnya dalam menangkis penyebaran berita tidak benar," katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Kuching petang ini.
HAWANA 2024 bertemakan “Etika Teras Kewartawanan Mapan” yang antara lain menggalakkan pengamal media agar cakna dengan perkembangan teknologi semasa dan mengaplikasikannya dalam tugasan harian.
Fahmi berkata Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam Laporan Risiko Global 2024 menyenaraikan penyebaran maklumat salah dan berita palsu sebagai antara risiko global utama di dunia.
Sehubungan itu katanya, sambil memanfaatkan teknologi, adalah penting untuk semua pengamal media sentiasa berwaspada dan melakukan penilaian kritikal dalam setiap pelaporan masing-masing
Mengulas lanjut Fahmi berkata kerajaan akan terus menangkis penyebaran berita palsu menerusi platform sedia ada, iaitu sebenarnya.my yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MyCheck Malaysia yang diuruskan Bernama serta segmen Biar Betul! yang disiarkan Jabatan Penyiaran (RTM) setiap hari.
Commentaires