Polisi kerajaan mengalihkan pemberian subsidi diesel secara pukal kepada bersasar amat penting untuk kemampanan ekonomi negara jangka panjang.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Sangetha Jayakumar berkata, polisi susbidi bersasar sebelum ini telah menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit setahun akibat aktiviti penyeludupan dan penjualan diesel di pasaran gelap.
"Jika kerajaan tidak melaksanakan subsidi bersasar maka ketirisan akan terus berlaku malah semakin serius. Negara kehilangan jutaan ringgit sehari akibat ketirisan dan penyeludupan diesel.
"(Dengan subsidi bersasar) penjimatan dianggarkan kerajaan adalah sebanyak RM4 bilion setahun, jika isu membabitkan aktiviti penyelewengan, penyeludupan, penjualan secara haram dapat diselesaikan melalui penyasaran subsidi ini," katanya dalam kenyataan.
Beliau menegaskan rakyat tidak perlu khuatir akan berlaku kenaikan harga terutamanya makanan kerana kenaikan harga diesel di pasaran yang melebihi RM3 seliter berbanding RM2.15 sebelum ini tidak menjadi beban kepada peniaga yang menggunakan kenderaan diesel kerana mereka menikmati subsidi yang diberi secara langsung.
"Rakyat perlu faham, kerajaan tidak pernah membatalkan subsidi diesel, sebaliknya mengalihkannya dengan memberikan bantuan terus kepada rakyat.
"Sebelum ini, subsidi terbabit dibayar kepada beberapa syarikat minyak, dinikmati oleh golongan maha kaya dan warga asing yang tidak sepatutnya. Namun melalui dasar subsidi bersasar, bantuan kerajaan diagihkan terus kepada individu yang layak," katanya.
Menurut beliau lagi, bagi pengguna kenderaan diesel individu kerajaan telahpun mengkaji penggunaan harian bahan api mereka sebelum memperkenalkan inisiatif Budi Madani.
Untuk petani dan pekebun kecil pula, katanya, bantuan tunai RM200 setiap bulan (Budi Agro-Komoditi) disediakan.
Tidak dinafikan, katanya, terdapat sebilangan kecil petani dan penanam padi yang menggunakan diesel bersubsidi kurang faham cara permohonan dan prosedurnya. Dalam hal ini, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah pun mengambil langkah proaktif turun padang untuk memberikan penjelasan bagi mengelakkan petani mengalami kerugian dan menaikkan harga bahan mentah makanan.
Selain itu, kata Sangetha subsidi bagi nelayan dengan harga RM1.65 seliter pula diteruskan bagi mengelakkan kenaikan harga ikan di pasaran.
"Untuk 23 kenderaan pengangkutan logistik termasuklah yang mengangkut keperluan asas seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran menerima diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah MySubsidi diesel. Maka tidak wajar untuk mereka menaikkan harga.
"10 pengangkutan awam yang merangkumi bas sekolah, bas ekspres, bas mini, bas henti-henti, bas pengantara, kereta sewa, teksi, van jenazah, ambulans dan bomba pula menerima diesel bersubsidi pada harga RM1.88 seliter. Maka mereka juga tidak wajar menaikkan harga tambang sesuka hati," katanya.
Pada masa sama, Sangetha mahu penguatkuasaan terus dijalankan agar kesan rantaian kenaikan harga barang tidak berlaku.
Hal itu, katanya boleh terjadi sekiranya pelaksanaan penyasaran subsidi tidak dipantau dengan baik dan ada pihak yang mengeksploitasinya.
"Penguatkuasaan perlu dilakukan dengan serius bagi mengekang peningkatan harga. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup KPDN perlu memantau harga barang dan perkhidmatan untuk mengelakkan aktiviti pencatutan oleh peniaga tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi penyasaran subsidi," katanya lagi.
Comentarios