Oleh: Noraini Nordin
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah baharu akan bermanfaat untuk rakyat Sabah.
Ini kerana menurut PMX, Tun Musa Aman berpengalaman luas berdasarkan rekod cemerlang perkhidmatan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah.
Tun Musa diangkat sebagai Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang di Pertua Negeri Sabah di Istana Negara, disempurnakan oleh KDYMM Yang di Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 Dis 2024.
"Tahniah saya ucapkan kepada Tun Musa Aman di atas pelantikan ini dengan dititipkan doa semoga khidmat dan pengalaman panjang Tun dihargai serta dimanfaatkan rakyat terutamanya rakyat Sabah," kata PMX lagi.
Pemimpin Berpengaruh
Tun Musa Aman, 73 tahun dikenali sebagai pemimpin berpengaruh yang pernah memegang jawatan Ketua Menteri Sabah selama lima penggal bemula 2003 sehingga 2018.
Beliau turut menyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga selama enam penggal daripada 1994 hingga 2020.
Selain dalam bidang politik, Musa Aman turut dikenali sebagai tokoh ekonomi dan korporat. Antara jawatan penting yang disandangnya termasuklah sebagai Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Pengerusi Sabah Softwood Sdn Bhd, Pengarah Yayasan Sabah dan Ketua Pegawai Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd.
Beliau juga aktif dalam arena pendidikan dan sukan. Beliau pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah.
Tun Musa Aman menggantikan Tun Juhar Mahirudin yang memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah selama empat penggal sejak 1 Januari 2011.
Comments