Tidak banyak yang mengetahui pengalaman pahit Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, Nurin Aina ketika bergelar mahasiswa pada era reformasi.
Beliau yang ditemui Suara Keadilan dalam Himpunan Keadilan, Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi berkata, pengalaman getir sebagai reformis memaksanya menukar nama untuk mengelak dijejaki oleh polis Cawangan Khas (SB) pada waktu itu bagi meneruskan perjuangan.
"Waktu 1998 saya mahasiswa tahun akhir, tetapi ketika Datuk Seri Anwar diperlakukan sebegitu rupa, saya yakin bahawa ada sesuatu yang tidak kena di Malaysia, dan siapakah yang akan membetulkan keadaan kalau bukan kita.
"Waktu itu saya berusia awal 20an, masa itu zaman dengar kaset, pakai walkman kita tak ada internet. Telefon bimbit paling canggih 3210 (Nokia). Edar risalah pun bawah tudung....
"SB ikut ke mana mana. Kadang kadang SB macam malaikat Raqib dan Atid ada sahaja di mana mana.
"Saya tukar nama Norazlina Surip dalam I/C kepada Nurin Aina Abdullah sebab nak mengaburi mata pemerintah yang mengejar siapa sahaja yang menentang kerajaan. Saya guna nama itu sampai sekarang," katanya.
Sehubungan itu, Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan itu mengingatkan generasi muda agar mengisi sebaik baiknya perjuangan reformasi sistem yang sedang dilakukan.
Katanya, perjuangan lalu amatlah getir namun perjuangan pada waktu ini juga mempunyai halangan tertentu sebelum berjaya mereformasikan institusi di Malaysia.
"Dulu kita lawan tetap lawan. Sekarang pun semangat itu ada, tetap lawan. Cuma realitinya berbeza. Kita harus mengisi kemenangan. Datuk Seri Anwar setelah 25 tahun Allah takdirkan menjadi PM
"Sekaranglah masa untuk bergerak, berkerja dan memastikan aspirasi perjuangan (terlaksana), memadanikan masyarakat Madani.
"Kerja reformasi itu harus diterjemahkan dalam perlaksanaan. Kerjanya mungkin lebih susah dari zaman lawan tetap lawan," katanya lagi.
コメント