
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan mengumumkan peluasan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April depan, maklum Datuk Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, tambahan 4.7 juta adalah yang menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah. Angka terbaharu yang mewakili jumlah penerima itu, mencatatkan peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.
''Semua sedia maklum, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah mula disalurkan pada 24 Mac lalu.
''Jadi mereka yang menerima STR akan tergolong dalam kumpulan yang akan menerima bantuan SARA bermula 1 April nanti.
''Jumlah yang akan diterima antara RM50 hingga RM200 sebulan bagi tempoh yang telah dinyatakan,'' katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.
Menurut Fahmi lagi, dana yang telah dikreditkan secara bulanan ke dalam MyKad boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025.
Katanya, bantuan itu diberikan untuk masyarakat membeli barang-barang keperluan asas, kebersihan diri, ubat dan peralatan persekolahan.
Comments