Kementerian Pendidikan (KPM) mengulangi komitmennya dalam menyediakan pendidikan inklusif untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Menterinya Fadhlina Sidek ditemui pemberita selepas hadir Majlis Ramah Mesra bersama Warga Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato' Razali Ismail di Kuala Nerus pada Rabu dipetik berkata, usaha itu bagi memastikan golongan berkenaan tidak terpinggir dalam masyarakat.
"KPM mengambil berat aspek infrastruktur di sekolah-sekolah keperluan khas dan telah menetapkan sasaran 100 peratus sekolah yang mempunyai MBPK dilengkapi kemudahan mesra OKU pada tahun 2030, melalui Pelan Hala Tuju Pendidikan Bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (PHTMBPK) 2020-2025.
"Sehingga tahun lepas, sebanyak 2,405 sekolah MBPK daripada keseluruhan 7,147 sekolah telah dilengkapi kemudahan mesra OKU seperti susur landai, susur tangan, tandas serta parkir OKU.
"Malah, Pusat Permata Autisme juga turut akan dibina di Terengganu. Itu komitmen besar kita dalam konteks nak pastikan anak-anak ini tidak terpinggir," katanya.
Fadhlina sementara itu turut memberi nasihat kepada masyarakat awam supaya lebih mengambil perhatian dalam kes-kes murid berhadapan isu keperluan khas.
"Kena lebih cakna dalam hal ini," jelasnya.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Fadhlina menyatakan kesediaan pihaknya menyalurkan khidmat kaunseling kepada anak-anak kepada seorang lelaki yang dikasari di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai dekat Kemaman, Jumaat lepas.
"Kita sudah pun dapatkan maklumat, maknanya dalam kes itu ada keperluan untuk menghantar pegawai kaunselor untuk tangani isu itu...bagaimana anak-anak menghadapi isu berkenaan," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 52 saat yang tular dalam media sosial itu memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pada pagi Jumaat.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca apabila mangsa yang merupakan OKU mental, menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai yang menyebabkan makanan jualan di gerai berkenaan terjatuh.
Setakat ini, sebanyak enam lelaki berumur antara 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Comments