Oleh: Abdullah Zaid
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) telah pun berlalu namun kemenangan bergaya calon DAP, Pang Sock Tao masih menjadi topik hangat dalam kalangan penganalisis politik.
Hal itu kerana pada culaan peringkat awal, Sock Tao diramal akan menang hanya dengan majoriti tipis berdasarkan sokongan Melayu yang padu kepada PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 lalu dan kebiasaan pada PRK masyarakat Cina tidak begitu ramai keluar membuang undi.
Bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Kassim kemenangan manis Pakatan Harapan pada PRK tersebut hakikatnya disumbangkan oleh kejayaan Kerajaan Perpaduan untuk mempopularkan pendekatan politik sederhana melawan politik perkauman dan agama sempit yang dibawa oleh PN.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor itu, dalam tempoh 14 hari berkempen, penerangan melalui dasar dan program inisiatif kerajaan Selangor turut memberi pengaruh besar kepada pengundi untuk kekal menyokong calon kerajaan.
"Sepanjang pentadbiran Kerajaan Negeri dan pusat kita banyak memberi pemahaman dan penerangan (mengenai polisi kebajikan) kepada rakyat mengenai program dan dasar yang dibawa kerajaan.
"Antaranya penyasaran subsidi dan isu pencen. Walaupun isu itu banyak dijadikan bahan (kempen) politik pembangkang tetapi rakyat masih memilih kerajaan kerana mereka faham langkah-langkah itu akan memberi manfaat kepada negara dalam tempoh jangka masa panjang nanti," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
PRK Kuala Kubu Baharu pada Sabtu lalu menyaksikan calon Perpaduan, Pang Sock Tao (PH) menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).
Berbanding PRN, blok kerajaan berjaya mencatatkan peningkatan sokongan 42% pengundi Melayu iaitu peningkatan sebanyak 3%.
Bagi pengundi India pula, PRK KKB telah meningkat kepada 67 peratus berbanding 59 peratus pada PRN lalu.
Undi masyarakat Cina pula kekal utuh bersama blok Perpaduan dengan mencatatkan peningkatan daripada 84% pada PRN kepada 87% pada PRK KKB.
Comments