Pendekatan baharu tangani isu capaian internet lemah - Fahmi
- Suara Keadilan
- 10 hours ago
- 1 min read

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil telah mengarahkan syarikat telekomunikasi (telco) agar menyelesaikan masalah berkaitan capaian internet secara berperingkat mengikut negeri secara bulanan.
Ditemui pemberita pada Selasa beliau berkata, arahan itu merupakan tindakan susulan setelah pemeteraian perjanjian perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G 6 Hala sebelum ini.
"Hasrat saya adalah (berasaskan) dasar ada jalan, di situ ada internet, dan kita mampu lakukan kerana syarikat telekomunikasi telah menandatangani perjanjian persefahaman yang membolehkan mereka membuat perkongsian rangkaian iaitu MOCN 4G 6 Hala.
"Langkah seterusnya adalah pengarahan bulanan kepada semua telekomunikasi untuk menyelesaikan masalah internet mengikut negeri satu demi satu," katanya dipetik.
Perjanjian MOCN 4G 6 Hala dimeterai Mei tahun lalu dengan tujuan meningkatkan kesalinghubungan terutamanya melibatkan kawasan kurang liputan Internet menerusi berkongsi sumber rangkaian dan infrastruktur.
Ia bagaimanapun mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan berikutan syarikat terbabit perlu membangunkan infrastruktur bagi tujuan tersebut.
Sementara itu, Fahmi ketika diminta mengulas mengenai masalah capaian internet yang rendah di beberapa kawasan di Ayer Kuning, Perak memaklumkan isu tersebut turut membabitkan kawasan lain di seluruh negara.
"Oleh itu, jelasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diberi arahan supaya menggunakan data sedia ada menerusi aplikasi Nexus serta maklumat daripada penyedia analitik seperti Ookla untuk mengenal pasti kawasan yang mempunyai capaian lemah.
"Kita akan ubah pendekatan – bukan lagi tunggu aduan, tetapi berikan senarai kawasan yang perlu diberi keutamaan untuk ditambah baik.
"Senarai kawasan ini akan dikemukakan kepada syarikat telekomunikasi setiap bulan mengikut negeri, dengan arahan supaya mereka melaksanakan tindakan penambahbaikan segera," katanya.
Commentaires