Oleh: Abdullah Zaid
Fatwa mengenai 'mati syahid' dalam persaingan politik menghadapi lawan sesama muslim adalah pandangan yang gopoh dan bercanggah dengan ajaran Islam.
Pengarah Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Ustaz Amidi Abdul Manan berkata, manakala dakwaan penceramah pembangkang yang mengandaikan Malaysia tidak tergolong dalam kategori negara Islam pula adalah dangkal serta tidak menepati sejarah pemerintahan Islam di Tanah Melayu.
"Dari sudut sejarah, Malaysia berada di rantau Islam dan bermula dengan kesultanan Kedah, diikuti Terengganu serta Melaka. Kita dijajah oleh Inggeris dan telah mengecapi kemerdekaan.
"Jelasnya Malaysia adalah kesinambungan pemerintahan Islam dari kurun ke-12 masihi.
"Bukan itu sahaja, Islam mempunyai pengaruh yang besar dalam pentadbiran bermula dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sehinggalah ke Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Ketua Hakim malah Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Peguam Negara juga terdiri daripada orang Islam.
"Dari segi perundangan, Islam merupakan agama bagi Persekutuan. Keluarga dan harta pusaka umat Islam turut ditadbir menurut hukum-hukum Islam," katanya kepada Suara Keadilan.
Begitu juga, kata Amidi, dari sudut ekonomi banyak terdapat pengaruh Islam seperti dalam bidang kewangan, perbankan, pasaran saham patuh syariah dan instrumen Islamik yang lain.
"Dari sudut sosial pula, terlihat dengan jelas sistem pendidikan Islam yang mampu melahirkan pelbagai pakar setanding dengan ulama antarabangsa. Begitu juga dengan ruang dakwah yang dinikmati oleh masyarakat Islam di negara kita ini," katanya.
Justeru, tegas beliau, sekiranya terdapat fatwa atau pandangan membenarkan 'menentang' pemerintah Malaysia dan mendapat ganjaran syahid maka pandangan itu songsang dan tidak selari ajaran sebenar Islam.
"(Dalam hal ini) fatwa atau pandangan mengenai kewajaran mati syahid dalam persaingan politik di Malaysia merupakan pandangan yang gopoh, tidak cermat malah merugikan umat Islam serta bercanggah dengan pandangan ulama masa kini,” katanya lagi.
Untuk rekod, pandangan semasa mengenai negara orang Islam bukan lagi berkisar kepada sistem kekhalifahan tetapi telah diterima konsep demokrasi serta bukan Islam mempunyai taraf kerakyatan yang sama.
Oleh itu sebarang percubaan menentang pemerintahan yang dikuasai muslim akan bersifat pemberontakan, bukannya perjuangan suci yang dibenarkan.
Comentários