Oleh: Akmal Manaf
Terdapatnya kecacatan dalam pendakwaan ke atas beberapa pemimpin UMNO pada era pentadbiran Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad (2018 - 2020) yang ditegur oleh PM Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini tidak bermakna boleh dibuat kesimpulan bahawa semua pendakwaan yang dianggap bersifat politik pada waktu itu perlu ditarik balik.
Pandangan itu disuarakan oleh Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi mengulas suara suara desakan daripada akar umbi salah satu parti komponen Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, kata beliau, semua pihak perlu meletakkan kepercayaan terhadap sistem undang-undang sedia ada.
"(Dalam hal ini) kita sedia maklum ada cabang yang berbeza (dalam pemerintahan), iaitu eksekutif dan cabang undang-undang (kehakiman).
"Walaupun saling berkait, namun ia bukan dalam bidang kuasa PM Anwar untuk membuat keputusan (menarik pendakwaan)," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan pimpinan Pemuda UMNO Sabah sebelum ini menggesa pihak pendakwaan menarik balik segala kes yang didakwa di mahkamah ketika era pentadbiran kedua Tun Mahathir.
Mengulas lanjut, Nabil berkata, masyarakat seharusnya menghormati proses undang-undang dan pada masa sama mereformasikan, sekali gus memperkukuhkan lagi institusi berkenaan di negara ini.
Katanya, andai terdapat kecacatan maka 'mangsa' pendakwaan boleh mengemukakan semakan di mahkamah atau sebagainya seperti mana yang dilakukan oleh Datuk Seri Zahid Hamidi, Rosmah Mansor dan lain lain.
Tegas Nabil, amat penting untuk antarabangsa melihat undang undang berjalan bebas di Malaysia bagi memastikan negara stabil dari segi politik dan ekonomi.
"Kalau dilihat Kerajaan Perpaduan ini, kita lebih stabil... kita juga beri ruang untuk masing-masing memberi pendapat.
"Kita turut beri ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan UMNO.
"Kita perlu mempunyai semangat kesepaduan yang dibawa dalam Kerajaan MADANI ini," kata beliau lagi.
Untuk rekod, pada 21 Dis lalu, PM Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.
Beliau berkata, hal itu adalah kerana tindakan yang dilakukan didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik oleh mereka yang berkuasa pada ketika itu.
Komentar