Sebarang pengumuman berkaitan subsidi bersasar akan diumumkan selepas Kementerian Ekonomi membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada Jemaah Menteri.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata begitu melalui satu kenyataa sebagai mengulas perkembangan terbaharu berkaitan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Melalui kenyataan itu beliau memberitahu, seramai 11.55 juta atau 52.6 peratus warganegara berumur atas 18 tahun berjaya mendaftar dan mengemas kini profil diri sepanjang tempoh pendaftaran PADU yang tamat pada Ahad lalu.
Angka itu jelasnya menjadikan 17.65 juta (58.7 peratus) keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun, berjaya dikemas kini di dalam sistem tersebut.
Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan Perlis merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi dengan 66.9 peratus, diikuti Kelantan (65.2 peratus), Terengganu (62.7 peratus), dan Perak (60.3 peratus).
Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pula merekodkan pendaftaran melebihi 50 peratus.
Sementara itu Johor, Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan peratus pendaftaran di bawah 50 peratus.
Rafizi sementara itu memaklumkan, Kementerian Ekonomi akan umumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian sekiranya ada keperluan untuk melakukannya.
Comments