
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan perlu melakukan keseimbangan bagi mengelakkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 'terhukum' apabila mereka bersara kelak.
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keseimbangan itu adalah daripada segi menyelesaikan segera masalah mendesak kewangan pencarum akibat kehilangan kerja atau apabila mereka sudah bersara tidak mempunyai simpanan hari tua mencukupi.
''Membuka ruang itu (bantuan segera) akan menimbulkan masalah dalam beberapa tahun lagi tatkala mereka bersara.
''Prinsip yang saya pegang dari awal (puluhan tahun lalu) semasa menjadi Menteri Kewangan, tidak ada kelonggaran berlebihan kerana prinsip KWSP ini juga adalah simpanan untuk hari tua.
''Jadi, sebab itu (sementara) saya faham keluhan Yang Berhormat (Padang Terap), adakalanya beberapa pengecualian dan kelonggaran diberikan.
''Banyak kes-kes rayuan khusus diberi pertimbangan khas terutamanya dalam keadaan uzur dan sebagainya, tetapi membuka ruang yang terlalu luas bermakna kita akan menghukum mereka apabila mereka beransur tua dan bersara,'' kata Anwar ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang ingin tahu apakah pertimbangan kerajaan tentang pengeluaran akaun KWSP bagi kumpulan masyarakat yang terdesak dengan kos kehidupan.
Antaranya pencarum yang diberhentikan kerja dan tidak mempunyai pendapatan, namun golongan itu mempunyai wang simpanan KWSP.
Oleh itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyimpulkan bahawa pihaknya perlu melakukan keseimbangan bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan.
''Kalau ada spesifik (isu) yang diutarakan YB Padang Terap, saya percaya KWSP boleh memberikan pertimbangan seperti mana mereka lakukan sekarang.
''Katakan dalam keadaan mendesak walaupun tidak mengikut kaedah seperti yang diberikan sekarang,'' ujarnya lagi.
Comments