Penantian selama 10 tahun bagi 404 pemilik kediaman kos rendah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil berakhir apabila projek itu berjaya disiapkan dan diserahkan kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata proses penyerahan kunci kepada pemilik akan diselesaikan sepenuhnya tahun ini, membolehkan mereka memasuki kediaman masing-masing.
"Alhamdulillah hari ini kita akan menyerahkan projek ini. Ini adalah projek PPR Ampar Tenang yang dahulunya kawasan ini didiami oleh peladang dari estet milik Sime Darby Berhad.
"Penyerahan kunci akan berjalan terus selepas Jabatan Perumahan Negara ambil alih, nanti kita akan maklumkan. Kalau boleh selesai dalam tahun ini juga insya-Allah.
"Atas kerjasama dan kesungguhan kerajaan Malaysia MADANI, maka penantian 10 tahun ini akan berakhir di sini," katanya dipetik.
Projek PPR Ampar Tenang merupakan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor melalui pengambilan tanah estet milik Sime Darby Berhad seluas 12.14 hektar bernilai RM15 juta.
Pemilik terdiri daripada pekerja dari empat ladang iaitu Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely yang selama ini tinggal di perumahan sementara di Taman Permata, Dengkil.
Projek yang turut menyediakan empat unit rumah kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) itu menggunakan peruntukan Tabung Kumpulan Amanah PPR sebanyak RM88 juta selain dilengkapi kemudahan seperti dewan komuniti, taman permainan dan kawasan lapang.
Comments