
Oleh: Abdullah Zaid
Sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) Pahang optimis untuk memberikan dokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai.
Ketuanya merangkap Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, sayap gabungan itu akan memastikan sokongan 2 ribu pengundi PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) akan kekal kepada calon BN.
"Kemenangan ini amat penting untuk tunjukkan bahawa kita sangat baik, kita utuh bersama hari ini dalam tempoh 2 minggu berkempen, bekerjasama untuk menyakinkan pengundi DUN Pelangai untuk bersama BN.
"Saya mohon pada 7 Oktober ini kita laungkan kemenangan kepada saudara Armizar (calon BN)," katanya dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani di Pelangai, malam tadi.
Kekuatan yang ada pada gabungan blok kerajaan, kata Syefura, boleh memberi isyarat besar kepada rakyat bahawa kerjasama sesama parti komponen kukuh.
"November (PRU15) lepas kita berlawan di sini (DUN Pelangai) tetapi kita tunjukkan demi kestabilan politik, ekonomi dan perpaduan kita buat kerjasama (Kerajaan Perpaduan) di peringkat Persekutuan mahupun di negeri Pahang.
"Oleh itu panggil semua orang Pelangai, tak kira yang duduk di luar negeri untuk pulang dan mengundi calon nombor tiga (Armizar)," tegas Syefura lagi.
Seramai 16,456 pengundi layak membuang undi dalam PRK Pelangai termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK itu diadakan susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, yang turut mengorbankan sembilan individu lain.
Kerajaan Perpaduan mencalonkan Datuk Amizar Abu Adam daripada Barisan Nasional (BN) berentap dengan Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
Comments