Spekulasi kemungkinan KEADILAN menerima kemasukan beberapa pemimpin UMNO yang dipecat dalam siri pembersihan dalaman parti itu sejak sebulan lalu tidak timbul ketika ini.
Mengulas pertanyaan wartawan di parlimen Tambun berkenaan hal tersebut, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan bersama pemimpin lain akan dibuat seandainya ada permohonan kemasukan, namun kestabilan Kerajaan Perpaduan lebih diutamakan.
"Ini (pemecatan) sebenarnya keputusan dalaman disiplin masing masing, tetapi tidak ada timbul lagi pelawaan untuk bersama (KEADILAN).
"Tentunya sekiranya ada (permohonan) kita akan teliti dan tentunya mendapat pandangan pimpinan lain, dan juga menjaga kerukunan, kedamaian Kerajaan Perpaduan.
"Jadi kita beri pertimbangan lebih luas," katanya.
Sejak semalam timbul spekulasi bekas Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Khairy Jamaluddin yang dipecat UMNO akan menyertai KEADILAN sehingga Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli memberi komen menyatakan hasrat seumpama itu perlu dibincangkan secara mendalam dalam kalangan pemimpin parti.
Comments