Pemimpin PN lawat kuil: Mengapa mereka boleh, pemimpin PH tidak boleh?
- Suara Keadilan
- Apr 11
- 2 min read

Lawatan pemimpin pembangkang ke kuil Hindu yang mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial baru baru ini menimbulkan pertanyaan apakah hal yang sama boleh dilakukan oleh pemimpin kerajaan.
Sedangkan sebelum ini sebarang lawatan ke rumah ibadat bukan Islam oleh pemimpin kerajaan dibelasah hebat di media sosial oleh para laskar siber PN kononnya menyalahi ajaran agama.
Bagi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, kekeliruan itu kerana pembangkang terutama Pas yang memiliki banyak tokoh agama tidak mengutamakan hukum syarak dalam membuat kritikan ke atas lawan politiknya.
"Hukum Islam itu tidak khusus kalau pemimpin ini pergi (ke rumah ibadat) maka boleh, kalau pemimpin lain pergi maka haram, tidak boleh dan dihujani pelbagai tuduhan serta komentar keji.

"Siapa saja, yang mana sifatnya sebagai seorang pemimpin yang mengunjungi mana mana rumah ibadat itu sudah pasti dia dipandu hukum syarak yang tertentu," katanya dalam ulasan di media sosial melibatkan Ahli Dewan Negeri Semenyih, Nushi Mahfodz yang melawat ke kuil Hindu sebelum ini.
Menurut Mujahid, pelbagai pandangan dalam kalangan ulama berhubung berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam bagi orang awam, sama ada makruh atau haram.
Alasan mereka adalah untuk memelihara adab umat Islam kerana tempat itu pada pandangan Islam adalah tempat yang dipenuhi kesyirikan.
Namun, kata beliau, terdapat pengecualian kepada pemimpin yang mempunyai maslahat tertentu untuk mengunjungi rumah ibadat berkenaan.
"(Dalam hal ini) saya nak nasihat kepada semua orang, kita tidak boleh memilih secara selektif dalam memahami hukum hakam syariat. Tak boleh kata orang lain tak boleh, dia saja boleh. Ini kesesatan paling besar yang dilakukan pengikut (parti) tertentu.
"Hukum syariah itu bebas, siapa yang mengikut kriteria tertentunya, pengecualiannya terpakai ke atasnya maka hukum itu dianggap sebagai harus dan tidak jatuh makruh mahu pun haram.
"Berhentilah dari sifat memilih hukum hakam dalam mewajarkan ketaksuban kita. Kita ikut syariat sebagaimana ditetapkan," katanya lagi.
Comments