Oleh: Azuan Ab Rahman
Beberapa pemimpin pembangkang yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri (PM) mewakili Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak layak untuk memimpin Kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, individu yang diketengahkan PN itu merupakan generasi lama yang bertanggungjawab ‘membunuh’ demokrasi dengan menggantung Parlimen dan mengisytiharkan darurat sewaktu negara dilanda pandemik Covid 19 sekitar 2020 - 2021 lalu.
Oleh itu katanya, mencadangkan individu berkenaan sebagai alternatif kepada PM yang ada sekarang adalah satu tindakan merbahaya dan ancaman terhadap demokrasi di Malaysia.
"Sekarang sibuk di kalangan Bersatu dan Pas memasarkan nama pemimpin-pemimpin mereka yang layak untuk jadi Perdana Menteri. Saya berpandangan mereka tidak layak (memimpin negara).
"Saya ingin memberi satu sebab sahaja bahawa adalah berbahaya kerajaan Persekutuan diserah pentadbirannya kepada pemimpin PN sekarang, yang terdiri daripada Bersatu dan Pas.
"Kesalahan mereka yang saya sukar maafkan hingga sekarang ialah PN mengisytiharkan darurat seluruh negara dan menggantung Parlimen selama enam bulan (pada 2021)," katanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa PN tidak menghadapi masalah untuk mencari calon PM daripada kalangan parti gabungan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Beliau menamakan beberapa bekas pemimpin era pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai calon iaitu Muhyiddin sendiri, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden Pas yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dalam pada itu, Hassan mengimbau detik negara diisytihar darurat dan Ahli Parlimen dihalang masuk ke Dewan Rakyat untuk bersidang.
Malah beliau sendiri, katanya, pada waktu itu terlibat protes melalui tindakan undang undang ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan kerajaan PN mengisytiharkan darurat di seluruh Malaysia dan menggantung Parlimen.
"Pengkhianatan terhadap rakyat yang sukar dimaafkan.
"Maka selagi Bersatu dan Pas dipimpin oleh generasi lama yang bertanggungjawab membunuh demokrasi dengan menggantung Parlimen dan menutup jalan ke sana dan mengisytiharkan Darurat di seluruh negara, maka selagi itu amat bahaya memberi kuasa kepada mereka yang ada rekod menghancurkan demokrasi di Malaysia," katanya lagi.
Untuk rekod, pada 2 Ogos 2021 kerajaan PN yang mengisytiharkan darurat mengarahkan Parlimen ditutup. Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Pejuang yang datang untuk bersidang pada hari itu terpaksa berhimpun Dataran Merdeka, mengecam kerajaan PN dan cuba berarak masuk ke Bangunan Parlimen.
Bagaimanapun mereka dihalang oleh sepasukan polis simpanan persekutuan (FRU) di bulatan di hadapan Bank Negara dan diarah bersuarai.
Comments