top of page

Pemimpin pembangkang jangan tunggang isu tragedi Putra Heights

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 days ago
  • 2 min read


Oleh: Akmal Manaf


Pemimpin politik pembangkang dinasihatkan untuk mengamalkan 'politik matang dan sejahtera' sebagaimana cogan kata salah satu parti dalam gabungan Perikatan Nasional serta tidak memperkudakan isu kebakaran yang berlaku di Putra Heights, baru-baru ini.


Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menegaskan, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang sepatutnya berganding bahu tampil membantu mangsa tragedi berkenaan sebagai tanda simpati, sekali gus menghentikan segala bentuk eksploitasi.


Sehubungan itu, beliau menyelar Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mempolitikkan tragedi berkenaan untuk meningkatkan populariti peribadi beliau walaupun salah fakta.


"Dalam kenyataan media bertarikh 4 April 2025, Wan Fayhsal merujuk kepada insiden letupan paip gas tersebut sebagai 'telah meragut nyawa'.


"Ini adalah bohong sama sekali dan pihak berkuasa telah menyatakan bahawa tiada sebarang kematian setakat ini. Kenyataan palsu Wan Fayhsal adalah amat dikesali.


"Dalam kenyataan media itu juga, Wan Fayhsal mendakwa bahawa bantuan RM5,000 kerajaan kepada mangsa adalah tidak mencukupi dan merupakan satu 'penghinaan'.


"Ini juga berniat jahat kerana ia seolah-olah menggambarkan bahawa Kerajaan MADANI hanya memberikan bantuan RM5,000 maksima," katanya yang membidas Wan Ahmad Fayhsal menerusi satu kenyataan.


Dalam kenyataan sama, Faiz turut 'menjelaskan' kepada Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu tentang pelbagai bantuan yang sudah disusun oleh pihak kerajaan yang bersedia membantu mangsa tragedi berkenaan.


"Pada 1 April lalu, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kerajaan akan membaiki atau menggantikan rumah-rumah yang rosak atau musnah dalam letupan tersebut.


"Ingin saya bertanya kepada Wan Fayhsal, adakah kos rumah baharu bernilai RM5,000 sahaja?


"Malah pada tarikh sama (1 April), Datuk Seri Anwar memaklumkan akan mempertimbangkan meningkatkan bantuan tunai RM5,000 itu.


"Jumlah tersebut hanya bantuan serta-merta dan kerajaan sedang meneliti cara-cara lain untuk memudahkan mangsa-mangsa pulang ke rutin harian mereka," ujarnya lagi.


Justeru, Faiz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mendesak dan menuntut mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu untuk menarik balik kenyataan media bertarikh 4 April 2025 dan memohon maaf secara terbuka kepada semua mangsa tragedi dan juga Kerajaan MADANI atas penyebaran maklumat palsu itu.


Susulan kejadian yang berlaku pada Syawal kedua itu, Faiz berkata AMANAH menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terlibat.


AMANAH juga katanya, telah mengerahkan jentera bagi menghulurkan bantuan yang termampu kepada mangsa tragedi.


Selain itu, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu turut turun melawat kawasan kejadian dan menyantuni mangsa yang terlibat.


Dalam kenyataan medianya pada 4 April lalu, Wan Ahmad Fayhsal antaranya mendakwa, bantuan tunai RM5,000 yang disalurkan oleh kerajaan kepada mangsa kebakaran adalah jauh daripada mencukupi dan merupakan satu 'penghinaan'.

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page