
Oleh: Akmal Manaf
Pemimpin mana mana parti dinasihatkan agar tidak 'menjaga tepi kain' KEADILAN Sarawak susulan kenyataan dikeluarkan oleh seorang Ahli Parlimen Sarawak baru-baru ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit menyifatkan, pendapat pemimpin itu tidak relevan sama sekali untuk diguna pakai dalam KEADILAN meskipun setiap orang berhak mengeluarkan pandangan masing-masing.
''Apatah lagi (pendapat) itu tidak ada kebenarannya.. kerana kami kenal siapa Presiden kami.
''Pendapat peribadi dan pemerhatian saya, pemimpin bukan dari KEADILAN juga (kebelakangan ini) sibuk untuk cuba bercakap tentang hal dalaman parti KEADILAN negeri. Ini satu perkembangan menarik.
''Malah, ada pemimpin yang pernah memimpin KEADILAN Sarawak, akhirnya melompat keluar dan meminta menjadi sebahagian daripada kerajaan, diberi jawatan penting dalam GLC lagi.
''Justeru saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pemimpin bukan dari KEADILAN terhadap KEADILAN Sarawak kerana KEADILAN negeri pada era pembangkang dulu berbeza (dengan sekarang) iaitu Pakatan Harapan sebahagian daripada Kerajaan Pusat,'' katanya dalam satu kenyataan.
Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang turut memuji sikap yang dipamerkan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud kelmarin.
Beliau menyifatkan Anwar sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan profesional apabila menyantuni pemimpin utama pembangkang, Mohd Nassuruddin di pejabatnya di Putrajaya.
''Justeru tidak elok mana-mana pemimpin luar KEADILAN cuba untuk 'menjaga tepi kain' KEADILAN Sarawak.
''Apa pun pendapat pihak luar terhadap KEADILAN Sarawak, ianya hanya pendapat dan tidak melambangkan keadaan sebenar dan tidak boleh dipercayai.
''Kalau KEADILAN dilihat lemah, tak perlulah mana-mana pihak takut jika kami ingin bertanding. Apatah lagi menyuruh kami tidak bertanding atas alasan-alasan lain,'' katanya lagi.
Untuk rekod, baru baru ini Presiden Parti Bangsa Malaysia Larry Sng menasihatkan KEADILAN Sarawak menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai komponen bagi menjamin masa depan politik mereka.
Saranan itu ditolak oleh KEADILAN Sarawak yang dispekulasikan akan menurunkan calon dalam Pilihan Raya Negeri beberapa dua tahun akan datang.
Comments