Pemimpin berpengalaman uruskan parti perlu jadi suara seimbang dalam MPP
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Pengalaman menguruskan parti KEADILAN wajar diberi kelebihan untuk menyandang jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN dalam pemilihan 2025.
Menurut mantan pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, beliau menawarkan diri bertanding MPP berdasarkan pengalaman sejak beberapa dekad dalam menguruskan KEADILAN Sarawak.
"Saya telah menang tanpa bertanding di Cabang Batang Lupar. Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota Parti Keadilan di Batang Lupar.
"Menganjak dari kemenangan ini, dan setelah berbincang dengan rakan rakan seperjuangan dan keluarga maka saya menzahirkan hasrat menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat yang pemilihannya akan berlangsung pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat di Johor pada 23, 24 dan 25 May 2025 yang akan datang.
"Sesungguhnya saya tidak cuak menawarkan diri bertanding berdasarkan penglibatan serta pengalaman yang saya perolehi selama ini.
"Pengalaman saya, sama ada di peringkat Cabang atau pun Negeri dan juga di peringkat kebangsaan telah mendorong saya untuk terus terlibat dan menyumbang," katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini Abang Zulkifli telah menyandang beberapa jawatan tinggi dalam MPN Sarawak; dari menjawat jawatan Ketua Penerangan, Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri, Timbalan Pengerusi dan Pemangku Pengerusi MPN yang mendorong beliau untuk berusaha mandaki ke tahap yang lebih tinggi sebagai anggota MPP.
"Perjalanan urusan dalam MPP juga tidaklah asing bagi saya kerana semasa memangku Jawatan Pengerusi MPN, saya telah turut hadir dan menyumbang dalam MPP.
"Posisi kita dalam MPP melalui kemenangan bertanding adalah lebih bermakna. Kita memerlukan suara yang lebih lantang dan berkesan bagi kepentingan parti dan juga negeri serta wilayah yang kita wakili.
"Peranan besar kita juga ialah mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang sedia ada. Keutuhan dan kewibawaan Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara memerlukan sokongan dan dokongan padu warga Parti," katanya.
Justeru beliau berharap dalam pemilihan kali ini wujud penyertaan yang lebih seimbang Ahli MPP dari setiap negeri dan wilayah di Malaysia.
Comments