Pimpinan peringkat akar umbi setiap parti di dalam Kerajaan Perpaduan seharusnya menterjemahkan mesej yang ingin disampaikan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat agar mereka memahami rasional di sebalik inisiatif yang telah dan bakal diperkenal oleh Kerajaan.
Setiausaha Politik Pejabat Presiden KEADILAN, Manivanan Gowin berkata, pada masa sama pimpinan akar umbi dan jentera parti pula perlu terus menyantuni serta membantu rakyat yang layak mendapat bantuan yang disediakan oleh Kerajaan melalui pelbagai agensi.
"Pendekatan yang telah, sedang dan bakal diambil Kerajaan Perpaduan bukan bersifat populis kerana fokus utama pimpinan negara bagi memastikan ekonomi Malaysia bertambah baik dan rakyat mampu hidup dalam keadaan selamat serta makmur.
"Berdasarkan maklum balas yang saya terima di peringkat akar umbi, rakyat amat berharap agar langkah drastik diambil bagi membantu mereka menghadapi bebanan akibat peningkatan kos sara hidup," kata Manivanan yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Negeri Sembilan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat itu berkata, beliau dan pemimpin masyarakat Negeri Sembilan semalam berpeluang mendengar Perutusan Negara PM secara langsung ketika diadakan perjumpaan di sebuah hotel di Seremban.
Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun turut hadir dalam perjumpaan tersebut.
"Saya mengambil peluang dalam program itu menyeru semua pihak agar memberikan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan memperkukuh ekonomi dan membantu rakyat melalui langkah-langkah berani seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri," ujarnya.
Menurut beliau lagi, langkah berani Kerajaan MADANI menangani rasuah, mengatasi ketirisan dan memperkenalkan subsidi bersasar telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan, berdasarkan petunjuk ekonomi yang positif serta peningkatan bantuan kepada rakyat.
Sehubungan itu, kata Manivanan, semua pihak perlu yakin dan terus menyokong usaha yang diambil Kerajaan untuk terus memperkukuh ekonomi negara dan membantu rakyat berhadapan kos sara hidup yang kian meningkat secara global.
Beliau juga mengingatkan agar agensi kerajaan berusaha untuk mengoptimumkan keberkesanan penyampaian bantuan, dalam masa sama agensi penguatkuasaan meningkatkan pemantauan bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan mengganggu gugat keamanan negara secara menyebarkan fitnah.
"Orang ramai perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan menjadi “mata dan telinga” pihak berwajib dan segera melaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan penipuan yang boleh menyebabkan ketirisan dan kerugian kepada negara dan rakyat," katanya lagi.
Comments