
Pemilihan KEADILAN 2025 menyaksikan demokrasi dalam parti terbuka luas dengan lebih 17,000 penyertaan untuk bertanding di peringkat cabang.
Bagi Ketua Cabang KEADILAN Batang Lupar, Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, pertandingan di Bumi Kenyalang itu juga tidak kurang sengitnya sebagaimana 222 cabang di seluruh negara.
Namun kata beliau, pertandingan kali ini tidak wajar dijadikan medan untuk berlaga pengaruh, sebaliknya pertandingan perlu dianggap sebagai persaingan sihat dalam satu keluarga besar serta calon calon mengamalkan semangat kekeluargaan supaya selepas pemilihan semua anggota akan kembali bersatu padu.
"Di Sarawak tidak terkecuali sengitnya. Sebanyak 31 cabang akan terlibat dalam pemilihan. Dan kempen telah bermula selesai sahaja tamatnya tempoh penamaan calon.
"Sebagai Ketua Cabang yang masih bertahan selama empat penggal di Batang Lupar dan pernah memegang beberapa jawatan tertinggi dalam Majlis Pimpinan Negeri, saya ingin memberi peringatan mesra kepada semua calon yang bertanding di seluruh negeri supaya menjaga tatasusila dan adab serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat.
"Pertandingan dalam parti ialah pertandingan dalam keluarga. Peringatan presiden harus menjadi pegangan semua. Parti ini ialah parti yang berpeggang kepada falsafah " inclusiveness" di mana yang menang tidak memiliki semua dan yang kecundang tidak terus dibiarkan ke tepi. Biduk lalu kiambang pasti bertaut, " katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Abang Zulkifli, KEADILAN selama ini dibina dengan semangat ukhwah yang tinggi dan dengan semangat itulah setiap kali kejatuhan, parti akan bangkit dengan lebih gagah.
Oleh itu, katanya, parti seharusnya terus kukuh dan begitu juga di peringkat cabang terutama di Batang Lupar yang kali ini menyaksikan persaingan dalam beberapa posisi.
"Sejak sekian lama, Cabang Batang Lupar tidak pernah melalui perebutan jawatan tetapi kali ini Sayap Wanita di Batang Lupar akan memilih Ketua Wanita Cabang dan Naib Ketua Wanita Cabang. Tarikh pengundian akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat.
"Jika keputusan di pusat mengesahkan pertandingan tersebut, maka peranan kami di Batang Lupar akan akur terhadap tatasusila dan adab berkempen, kerana kami faham bahawa kami ini masih dalam satu pasukan, iaitu pasukan KEADILAN Batang Lupar," katanya lagi.
Comments