
Sistem demokrasi dalam KEADILAN berjalan terus dengan adanya pemilihan yang berlangsung dari Mac hingga Mei ini.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti boleh menangguhkan pemilihan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke 16 namun beliau memilih untuk terus menyuburkan demokrasi dan tidak akan melakukan hal sama seperti parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan yang menangguhkan pemilihan.
"Kita satu satunya parti yang masih bertegas dan keras untuk meneruskan agenda demokrasi. Memang kita bincang panjang ada rasionalnya untuk mengelakkan daripada semua isu (kempen pemilihan) dan tumpu kepada pilihan raya umum.
"(Namun) saya memilih untuk tetap menekankan bahawa proses demokrasi perlu berjalan dan parti ini parti reform yang menuntut kebebasan dan demokrasi. Sukar bagaimanapun kita lalui.
"Saya percaya rakan rakan sudah matang. Kita lalui suasana getir, kita lalui perpecahan, kita lalui pengkhianatan paling jijik tetapi kita bangkit semula sebagai satu kekuatan," katanya dalam majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang AMK dan Wanita Negeri Selangor, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar percaya pemilihan kali ini akan berjalan lancar berikutan anggota parti yang sudah matang dan pemantauan ketat Lembaga Disiplin KEADILAN.
"Kalau kita matang pemilihan ini jauh lebih waras dan bijaksana dengan pengalaman Jawatankuasa Pemilihan Parti dan Jawatankuasa Disiplin," katanya.
Selain itu, Anwar juga menegur mana mana calon yang membayangkan seolah olah mereka direstui sebagai 'calon presiden'
"Saya beritahu elakkan begitu. Kempen atas kekuatan sendiri. Idealisme dan semangat perjuangan," katanya.
Perdana Menteri juga dalam ucapannya menekankan perlunya nilai nilai dalam politik negara yang telah sekian lama berjalan dengan baik untuk diteruskan.
Katanya, rakyat tidak perlu mengikut fahaman di negara maju sedang berkembang seperti fahaman perkauman sempit dan anti Islam.
"Di Amerika (Syarikat) faham anti kulit hitam, anti minioriti berkembang. Apa kita kena ikut semua itu?
"Kita menerima kepelbagaian. Untuk apa? Hormat memuliakan, kenal satu sama lain. Itu tuntutan al Quran, bukan kebencian.
"Kita tegak dengan akidah dan akhlak kita, tetapi itu untuk yang baik, bukan kebencian. Ini seolah olah negara ini langsung tidak boleh terima (budaya atau kaum) yang lain," katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa pemilihan kali ini parti telah menerapkan peraturan baharu kerana perlu diwujudkan wakil setiap kaum, pertubuhan dan individu mewakili kepentingan tertentu dalam struktur organisasi.
Comments